
Mengulas laporan portal berita Myanmar yang mendakwa Malaysia bersetuju menghantar pemerhati, Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu oleh semua menteri luar Asean.
“Perkara ini akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat menteri luar Asean, namun saya rasa tidak Asean akan bersetuju,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan Sidang Kemuncak Asean hari ini.
Jumaat lepas, akhbar milik kerajaan, Global New Light of Myanmar melaporkan Mohamad ‘berikrar menghantar pasukan pemerhati pilihan raya ke Myanmar’ susulan pertemuannya dengan pemimpin junta, Min Aung Hlaing di Naypyidaw.
Laporan itu lantas mengundang gesaan daripada Ahli Parlimen PKR mewakili Subang, Wong Chen, dan bekas menteri luar Saifuddin Abdullah agar Wisma Putra menjelaskan sama ada ia mengiktiraf ‘pilihan raya palsu’ itu.
Bekas Ahli Parlimen DAP Charles Santiago turut menyifatkan persetujuan menghantar pemerhati pilihan raya itu akan menjadi satu bentuk pengiktirafan terhadap junta tentera yang bertanggungjawab atas pelbagai kezaliman terhadap rakyatnya sendiri.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan kemudiannya memaklumkan permintaan Myanmar untuk mendapatkan pemerhati akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Asean kelak.
Myanmar berdepan krisis sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, sekali gus mencetuskan kebangkitan bersenjata hingga menyebabkan junta terlepas kawalan ke atas sebahagian besar negara itu.
Walaupun Myanmar menganggotai Asean, blok serantau itu menyekat penyertaan pemimpin tenteranya daripada sebarang mesyuarat sejak 2022 kerana kegagalan mereka mematuhi pelan damai lima perkara yang sebelum ini dipersetujui oleh jeneral tertinggi junta.