PN sentiasa perhati dinamik politik Sabah, pintu kerjasama terbuka

PN sentiasa perhati dinamik politik Sabah, pintu kerjasama terbuka

Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, kata pintu rundingan tidak pernah ditutup meskipun keputusan awal adalah bertanding secara sendirian.

Perubahan drastik dalam GRS jadi contoh bagi Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, tentang betapa pantas politik Sabah berputar.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) sentiasa memerhati dinamik politik Sabah bagi membuka kemungkinan kerjasama, di sebalik persediaan untuk bergerak solo pada PRN.

Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, menjelaskan pintu rundingan tidak pernah ditutup meskipun keputusan awal adalah bertanding secara sendirian, mengambil kira landskap politik yang boleh berubah.

“Buat masa ini kita memutuskan akan bergerak solo tetapi politik Sabah ini dinamik. Kita tidak menutup pintu atau halangan kerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya kepada FMT.

Kiandee merujuk kepada perubahan drastik dalam gabungan politik lain sebagai contoh betapa pantasnya politik Sabah berputar.

“Minggu lalu Gabungan Rakyat Sabah ada lapan parti dalam gabungan, sekarang ini tinggal enam. Jadi, kita PN ini tiada halangan untuk berunding kerjasama dengan mana-mana pihak sama ada ia berlaku atau tidak,” tegas naib presiden Bersatu itu.

Mengulas perkembangan lain, Kiandee memaklumkan persiapan PN untuk PRN berada pada tahap tertinggi. Beliau mengesahkan proses agihan kerusi dalam kalangan komponen PN secara asasnya telah selesai, tanpa sebarang konflik.

Jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti komponen akan ditentukan dan diumumkan oleh pucuk pimpinan PN dalam masa terdekat.

Kiandee turut yakin akan penerimaan pengundi, menegaskan PN bukan asing di Sabah dan mempunyai rekod cemerlang, memenangi 17 kerusi DUN pada PRN yang lalu.

PRN ke-17 ini melibatkan 73 kerusi DUN.

Susulan pengumuman pembubaran DUN Sabah oleh Ketua Menteri Hajiji Noor pada Isnin lalu, Sabah dijangka mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.