
Presiden Umno berkata berkata prinsip yang sama telah lama diamalkan dalam parti berkenaan terhadap sayap pemudanya, termasuk ketika beliau sendiri mengetuainya pada 90an.
“Jika melihat kepada Pemuda, itu bukan pendirian Majlis Tertinggi pun.
“Pemuda zaman siapa pun begitu, zaman saya pun begitu juga. Kita layanlah Pemuda secara Pemuda,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Zahid berkata demikian apabila diminta mengulas hubungan Umno dan DAP yang dilihat masih bercakaran walaupun sudah berada dalam kerajaan perpaduan selama tiga tahun.
Pada Ogos lalu, beberapa cawangan dan bahagian Pemuda DAP di peringkat negeri menyeru parti itu memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda Umno,Dr Akmal Saleh.
Dua minggu lalu pula, Akmal mencabar rakan sejawatnya dari DAP, Woo Kah Leong, supaya memutuskan hubungan dengan Umno selepas Woo dilaporkan berkata sayap Pemuda DAP, Umno dan MCA ‘mengikut haluan berbeza dan tidak boleh bekerjasama’.
DAP dan Umno sebelum ini merupakan seteru lama, namun permusuhan itu diketepikan apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan selepas keputusan PRU15 pada November 2022.
Kedua-dua gabungan mereka — Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) — dijangka akan mengekalkan kerjasama itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Zahid berkata DAP tidak pernah ‘mengganggu’ kawasan Umno, begitu juga sebaliknya.
Beliau menambah bahawa DAP juga telah terbukti membantu calon-calon Umno dalam PRN dan PRK selepas PRU15.
“Kita pergi solo tetapi kolaborasi tetap berjalan, bukan hanya dari segi jentera, tetapi daripada segi sokongan pengundi-pengudi mereka kepada kita,” katanya.