
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong, berkata insentif itu akan mendorong pemain industri pelancongan memperhebatkan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Ini yang kita minta sejak beberapa tahun lalu. Ia langkah baik dan kita sangat puas hati dengannya. Kami beranggapan akan ada pengecualian cukai 100% dan nampaknya tiada had dinyatakan.
“Jika insentif ini disusun dengan baik serta diuruskan secara telus, industri akan melaburkan semula keuntungan mereka untuk menarik lebih ramai pelancong,” katanya kepada FMT.
Malaysia menyasarkan untuk menarik 47 juta pengunjung dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion sempena TMM2026.
Belanjawan 2026 memperuntukkan lebih RM700 juta untuk merancakkan sektor pelancongan, termasuk RM500 juta bagi kempen TMM2026, RM60 juta untuk pemasaran dan acara kebudayaan, RM50 juta geran padanan menggalakkan penerbangan dan carter ke Malaysia; RM50 juta untuk menyokong usahawan seni dan warisan serta RM25 juta menambah baik kemudahan pelancongan, termasuk memulihara tapak Unesco diiktiraf tahun ini.
Kerajaan turut memberikan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena TMM2026.
Pengusaha projek pelancongan yang mengubah suai dan menaik taraf premis perniagaan mereka akan diberikan potongan cukai atas perbelanjaan layak.
Sementara itu, Persekutuan Pelancongan Malaysia memuji rebat cukai RM1,000 serta pengecualian cukai pendapatan dan insentif pengubahsuaian buat pengusaha pelancongan.
Presidennya, Sri Ganesh Michiel, berkata pelepasan cukai RM1,000 itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menggalakkan pelancongan domestik.
“Dengan pelaburan besar dalam belanjawan untuk pelancongan, sangat penting setiap ringgit digunakan secara berkesan dan hanya memanfaatkan pengusaha berlesen serta berdaftar yang mengekalkan kualiti perkhidmatan serta standard keselamatan, sambil menyumbang secara adil melalui cukai.”