
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata permuafakatan itu memberi ruang lebih kukuh untuk Sabah memperjuangkan hak bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40% hasil negeri serta kadar pemberian khas kepada Sabah.
“Kita ambil pendekatan bekerjasama kerana sebahagian besar tuntutan ini berada di bawah bidang kuasa persekutuan dan memerlukan kesepakatan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Kita mempunyai wakil dalam kerajaan persekutuan, jadi saya optimis dengan kepimpinan kerajaan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bagi DUN Limbahau di Dewan Ulu Sapat.
Armizan,yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, berkata beliau melihat komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menunaikan tuntutan bawah MA63, termasuk kenaikan kadar pemberian khas Sabah yang ditingkatkan kepada RM600 juta.
Beliau berkata ketika pentadbiran Warisan, kadar itu hanya meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta, satu angka yang masih jauh daripada tuntutan 40% hasil negeri.
“Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan tempoh 45 tahun tanpa semakan, apatah lagi amat jauh daripada kadar 40%,” katanya.
Armizan turut mengesahkan isu MA63 akan menjadi antara teras manifesto GRS pada PRN Sabah nanti.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Papar mengingatkan jentera parti memberikan penerangan tepat kepada rakyat agar pembangkang khususnya Warisan, tidak memanipulasi isu 40% hasil dan MA63, sedangkan ketika berkuasa mereka tidak menunjukkan ketegasan dalam memperjuangkan perkara berkenaan.
Pada pembentangan Belanjawan 2026, perdana menteri mengumumkan kadar pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada 2023, sebagai komitmen kerajaan Madani untuk mempercepat pembangunan dua wilayah itu selaras semangat MA63.