
Armizan berkata, Warisan sering mengkritik Barisan Nasional (BN) kerana mengekalkan pemberian khas Putrajaya kepada Sabah sebanyak RM26.7 juta selama kira-kira 45 tahun.
Namun ketika Presiden Warisan, Shafie Apdal, menjadi ketua menteri dari 2018 hingga 2020, pemberian khas itu hanya dinaikkan kepada RM53.4 juta di bawah Belanjawan 2020.
“Jumlah ini amat kecil jika dibandingkan dengan tempoh 45 tahun tanpa semakan. Ini menzahirkan kegagalan Warisan menunaikan amanah negeri dan rakyat Sabah.
“Keputusan Warisan dengan bersetuju menerima kadar yang amat kecil itu menggambarkan ia bukanlah parti yang boleh dipercayai sebagai penyelamat Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Armizan turut berkata keputusan Warisan itu adalah keputusan rasmi Kabinet melalui mesyuarat yang diadakan pada 16 Oktober 2019 seperti yang terkandung dalam Surat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah kepada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 18 Oktober 2019.
Dengan Warisan yang kini menggunakan slogan ‘Selamatkan Sabah’ untuk PRN akan datang, beliau menyifatkan ia sebagai retorik emosi semata-mata, di sebalik rekod lemah parti itu dalam memperjuangkan semula hak Sabah.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Papar itu, sejak GRS mengambil alih pentadbiran negeri pada 2020, jumlah pemberian khas tersebut telah meningkat kepada RM125.6 juta bagi 2022.
Selepas pembentukan kerajaan perpaduan, jumlah itu terus meningkat — RM300 juta pada 2023, RM306 juta pada tahun berikutnya, dan RM600 juta pada 2025, iaitu jumlah tertinggi setakat ini.
“Kadar ini juga merupakan pengaturan interim (interim arrangement) dan tidak prejudis kepada hak Sabah untuk terus menuntut formula 40% dipenuhi.
“Jadi persoalannya sekarang — adakah Warisan benar-benar ‘Selamatkan Sabah’, atau sebenarnya kita perlu ‘Selamatkan Sabah daripada Warisan’?” sindirnya terhadap slogan parti itu.
Armizan turut mengingatkan rakyat Sabah supaya menilai rekod pentadbiran setiap parti yang bertanding dalam PRN akan datang, memandangkan kebanyakannya pernah mentadbir Sabah sebelum ini.
Beliau turut menggesa Shafie menjelaskan asas penerimaan jumlah RM53.4 juta daripada Putrajaya, sedangkan Ahli Parlimen Semporna itu sebelum ini mendakwa dirinya mempunyai ‘pengaruh besar’ terhadap perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Tambah Armizan, Warisan ketika itu mempunyai tiga menteri dalam barisan Jemaah Menteri dan sepatutnya tidak berundur dalam memperjuangkan hak negeri Sabah.
Beliau juga mencabar bekas Presiden Upko Wilfred Madius Tangau memberikan penjelasan memandangkan beliau ketika itu merupakan timbalan ketua menteri dalam Kabinet Shafie.