Tubuh kumpulan bertindak Asean angkat bahasa Melayu, saran Ismail Sabri

Tubuh kumpulan bertindak Asean angkat bahasa Melayu, saran Ismail Sabri

Bekas perdana menteri berkata pakar bahasa, diplomat dan ahli akademik boleh menganggotai kumpulan bertindak itu bagi meneliti dasar bahasa Asean serta hala tuju komprehensif.

Ismail Sabri Yaakob memorandum Kamarazaman Yaakob n Untung Lasyino
Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman jalinan kerjasama sebagai rakan strategik antara wakil PAABM Kamarazaman Yaakob (kanan) dan Rektor Universitas PGRI Adi Buana, Untung Lasyino pada Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ke-4 di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob menyeru kerajaan mencadangkan penubuhan kumpulan bertindak di peringkat tertinggi Asean bagi merangka pelan jangka panjang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua serantau.

Penaung Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PAABM) itu berkata, pakar bahasa, diplomat dan ahli akademik daripada semua negara anggota boleh menganggotai kumpulan berkenaan bagi meneliti dasar bahasa Asean secara menyeluruh serta hala tuju komprehensif.

“(Malaysia) perlu mempergiatkan kerjasama tiga hala antara Malaysia-Indonesia-Brunei sebagai negara teras penutur bahasa Melayu.

“Ketiga-tiga negara ini perlu mengambil inisiatif menyelaraskan usaha promosi dan pembangunan bahasa, termasuk penyeragaman istilah teknikal dan pembangunan sumber digital bersama,” katanya selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) ke-4 di sini.

Beliau turut mencadangkan “Bulan Bahasa Melayu Asean” diadakan setiap Ogos sempena ulang tahun penubuhan badan serantau itu, bagi mempromosi penggunaannya dalam kalangan negara anggota melalui aktiviti pendidikan dan budaya.

“Saya berharap tiga cadangan ini akan dibawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Asean ke-47.”

Dalam perkembangan lain, katanya, usaha dan pendekatan SAABM bersifat strategik serta berperingkat mampu memperkukuh integrasi serantau dan membina komuniti lebih inklusif dalam jangka panjang.

“Perjalanan mengangkat martabat Bahasa Melayu dalam Asean bukan perkara mudah. Ia memerlukan kebijaksanaan diplomatik dan komitmen berterusan daripada semua pihak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.