
Mengikut pemahaman Putrajaya, katanya, pemimpin AS itu tidak meletakkan sebarang syarat.
“Tidak, kami tidak tahu (mengenainya),” katanya menurut The Straits Times sambil menambah perkara itu tidak dibangkitkan dalam panggilan video bersama timbalan wakil perdagangan AS pada 7 Okt lalu.
Terdahulu, Politico memetik sumber melaporkan Trump mahu mempengerusikan upacara menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja pada Sidang Kemuncak Asean.
Laporan itu turut mendakwa Trump dengan jelas meminta pegawai China dikecualikan daripada majlis itu, yang dikatakan untuk memperkecilkan peranan Beijing dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja.
Rumah Putih menafikan ada syarat sedemikian ditetapkan ketika dihubungi Politico.
Julai lalu, Thailand dan Kemboja terbabit pertempuran paling sengit dalam tempoh lebih sedekad. Dua negara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik membabitkan kawasan sempadan sepanjang 817km.
Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lalu selepas seorang tentera Kemboja maut dalam pertempuran dekat kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, kira-kira 360km dari Bangkok.
Gencatan senjata dicapai akhir Julai lalu.
Trump dilaporkan memberitahu pemimpin dua negara itu menamatkan pertempuran atau beliau tidak akan memeterai perjanjian perdagangan dengan mereka.