Majlis Malam Perlis wadah perantau erat hubungan, kukuh jati diri

Majlis Malam Perlis wadah perantau erat hubungan, kukuh jati diri

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berharap usaha murni PPKL dapat melahirkan generasi anak Perlis berilmu, berdaya saing, berpandangan jauh dan tetap menghargai akar budaya sendiri.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyempurnakan simbolik pelancaran Coffee Table Book sempena ulang tahun ke-38 Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis malam tadi.
PETALING JAYA:
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah Majlis Malam Perlis wadah penting bagi perantau mengeratkan hubungan kekeluargaan, mengukuhkan jati diri dan menzahirkan rasa cinta terhadap negeri kelahiran mereka.

Baginda bertitah tema “Inilah Perlis” amat tepat dan bermakna kerana mencerminkan identiti serta mengangkat martabat negeri itu di persada nasional dengan menonjolkan keindahan budaya, adat dan warisan yang menjadi kebanggaan bersama.

“Beta berharap usaha murni sebegini dapat melahirkan generasi anak Perlis yang berilmu, berdaya saing, berpandangan jauh dan tetap menghargai akar budaya sendiri.

“Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) diseru terus menjadi pemangkin dalam memperkasa kualiti diri, memperluas peluang serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Malam Perlis 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Tokoh PPKL kepada ahli perniagaan terkemuka yang pernah menerajui Renong/UEM Group, Halim Saad dan tokoh usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo. Kedua-duanya anak kelahiran Perlis.

Baginda turut melancarkan Coffee Table Book sempena ulang tahun ke-38 YTSP Perlis.

Keberangkatan tiba Raja Perlis diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, puteri baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yang Dipertua PPKL, Md Silmi Abd Rahman serta pemimpin persatuan itu turut hadir menyambut ketibaan Raja Perlis.

PPKL yang mempunyai 1,440 ahli bertujuan memperkukuh semangat perpaduan warga Perlis di perantauan, di samping memperluas jaringan kerjasama serta memupuk rasa cinta dan kebanggaan terhadap negeri kelahiran.

Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan penghargaan kepada PPKL atas dedikasi serta komitmennya menjayakan Majlis Malam Perlis 2025 dan berharap PPKL terus kekal relevan, unggul dan beristiqamah dalam melaksanakan agenda kebajikan serta pembangunan insan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.