
Menurut bekas ahli Bersatu itu, beliau menyerahkan borang keahlian parti kepada Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh dan Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin dan kemasukannya telah diterima.
“Kini saya secara rasmi menjadi ahli PKR Batu,” katanya, lapor Sinar Harian.
Mahathir berkata, beliau membuat keputusan menjadi ahli PKR berasaskan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta hala tuju kerajaan perpaduan yang menekankan prinsip reformasi, keadilan sosial dan integriti pentadbiran.
Katanya, beliau kini bersedia membantu dasar serta agenda pembangunan negara supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Beliau percaya, penting untuk memastikan maklumat yang tepat disampaikan agar rakyat memahami dasar kerajaan dengan jelas dan berasaskan fakta.
Perjuangan politik bukan sekadar soal kuasa, katanya, sebaliknya tanggungjawab membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi negara berasaskan nilai kejujuran, amanah dan keadilan.
Januari lepas, Mahathir mengumumkan keluar daripada Bersatu dan meletakkan semua jawatan termasuk sebagai setiausaha PN Wilayah Persekutuan serta-merta, namun tidak memperincikan sebab beliau membuat keputusan itu.
Bagaimanapun, dalam mesej kepada FMT, Mahathir menjelaskan beliau bertindak sedemikian kerana ‘perjuangan sudah tidak selari’.