Ringgit dijangka kekal antara mata wang berprestasi paling baik Asia

Ringgit dijangka kekal antara mata wang berprestasi paling baik Asia

Ringgit akan mendapat rangsangan daripada kelemahan dolar AS susulan lebih banyak pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

dollar ringgit
Sehingga akhir Ogos, ringgit telah mengukuh 5.8% berbanding dolar AS sejak awal tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ringgit dijangka kekal berada pada kedudukan tinggi sebagai antara mata wang Asia berprestasi paling baik hingga akhir tahun ini, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2026 Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata, dari awal tahun hingga akhir Ogos, mata wang tempatan telah mengukuh kepada RM4.2253, mencatatkan peningkatan sebanyak 5.8% berbanding dolar AS.

Ringgit juga meningkat berbanding beberapa mata wang Asia lain seperti rupiah Indonesia (8.2%), peso Filipina (4.3%) dan renminbi China (3.4%), menurut laporan itu.

Kementerian menyatakan pengukuhan ringgit disebabkan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) akibat dasar perdagangan yang tidak menentu dan kebimbangan fiskal jangka panjang.

Menurut laporan itu, faktor luaran terus mempengaruhi prestasi ringgit, termasuk ketidaktentuan berterusan mengenai perkembangan tarif AS.

“Selain itu, pengurangan kadar faedah sebanyak 0.25% oleh Rizab Persekutuan AS pada September 2025 kepada julat 4% hingga 4.25%, serta jangkaan dua lagi pengurangan kadar faedah menjelang akhir 2025, dijangka memberi rangsangan kepada ringgit.

“Tambahan pula, sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, prestasi kukuh ekonomi China boleh mempengaruhi kadar pertukaran ringgit dengan meningkatkan sentimen positif pasaran,” menurut laporan itu.

Kementerian turut menyatakan bahawa ketahanan ekonomi negara, disokong oleh pembaharuan struktur dan inisiatif berterusan, akan terus memberikan ‘sokongan berpanjangan’ kepada ringgit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.