
Di sebalik pembentangan belanjawan yang disifatkan sebagai positif dan pragmatik, Presiden William Ng berkata kerajaan harus memastikan setiap inisiatif benar-benar sampai kepada PMKS di peringkat akar umbi.
Menurutnya, Belanjawan 2026 mencerminkan banyak keutamaan yang dibangkitkan Samenta, terutama dalam aspek akses pembiayaan, sokongan inovasi, dan integrasi perdagangan serantau.
Contohnya, peluasan jaminan kredit di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM30 bilion daripada RM20 bilion menunjukkan keprihatinan berkenaan kekangan pembiayaan mampu milik yang dihadapi usahawan kecil; manakala fokus pada pendigitalan, kecerdasan buatan dan automasi sejajar seruan agar lebih banyak sokongan praktikal bagi meningkatkan produktiviti.
Peruntukan melalui SME Bank, Majlis Amanah Rakyat, Bank Simpanan Nasional, dan Amanah Ikhtiar Malaysia juga disambut baik.
“Namun, pelaksanaan mesti memastikan manfaat ini turut dirasai perniagaan mikro dan kecil di luar Lembah Klang, termasuk di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Samenta mengalu-alukan fokus belanjawan pada keupayaan eksport dan integrasi serantau, termasuk jaminan eksport SJPP bernilai RM5 bilion, geran pembangunan pasaran Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) sebanyak RM60 juta, serta peluasan MyCIF (Malaysia Co-Investment Fund) ke peringkat Asean.
Ng percaya langkah-langkah ini akan membantu PMKS memperkukuh penyertaan dalam rantaian bekalan serantau.
“Jika dilaksanakan dengan baik, belanjawan ini mampu membantu PMKS beralih daripada fasa bertahan kepada kepimpinan serantau. Yang paling penting kini ialah pelaksanaan yang berkesan dan konsisten,” tegasnya.