Kerajaan beri pelepasan cukai pelancongan individu hingga RM1,000

Kerajaan beri pelepasan cukai pelancongan individu hingga RM1,000

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelepasan cukai itu bertujuan menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

cultural performance
Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan ke atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengumumkan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan atas perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan,” katanya membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata kerajaan turut memperuntukkan RM700 juta bagi merancakkan sektor pelancongan.

“Daripada jumlah itu, RM500 juta diperuntukkan untuk menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerajaan juga menyediakan RM60 juta bagi dana galakan promosi, pemasaran serta penganjuran acara pelancongan dan aktiviti kebudayaan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan bertekad menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan pelancongan, komuniti desa, pengusaha kraf serta rakyat keseluruhannya.

Kerajaan turut mengumumkan beberapa insentif cukai baharu bagi sektor pelancongan dan kebudayaan antara potongan cukai sehingga RM500,000 kepada pengusaha projek pelancongan yang melaksanakan kerja ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan.

“Syarikat pengendali pelancongan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100% ke atas peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.

“Syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan Persidangan, Pameran Perdagangan atau Insentif bertaraf antarabangsa turut diberikan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun.

“Bagi penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing pula, mereka diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50% ke atas pendapatan berkanun,” katanya.

Anwar turut mengumumkan RM50 juta bagi menyokong pengusaha seni dan warisan menjana pendapatan, termasuk penggiat kraf, batik dan tenunan.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan lebih banyak penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.