
Setiausaha Agung Masidi Manjun berkata, slogan itu juga bukan tanda penentangan terhadap politik nasional.
Menurutnya, ungkapan itu sebenarnya menggambarkan aspirasi rakyat Sabah yang menginginkan keadilan dan peluang yang sama seperti rakyat di negeri lain.
“Apabila kita kata ‘Sabah for Sabahan’, itu bukan bermaksud kita menolak Malaysia atau politik kebangsaan.
“Ia bermaksud kita mahu rakyat Sabah diberi lebih banyak peluang pekerjaan, ruang kepimpinan, dan memastikan hak-hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Masidi berkata sentimen di sebalik slogan itu berpunca daripada kepercayaan lama rakyat Sabah ketinggalan dari segi pembangunan dan perwakilan.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh parti-parti politik berasaskan negeri supaya suara Sabah lebih didengari di peringkat nasional.
“Sekarang masa sesuai untuk memperkasakan parti tempatan supaya Sabah boleh menjadi salah satu pemain utama yang membentuk sejarah politik negara,” katanya.
Tambahnya, peralihan Sabah ke arah politik berasaskan negeri adalah satu evolusi semula jadi, selaras dengan perubahan landskap politik di Semenanjung.
Pada Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional merangkap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, menyifatkan sentimen itu sebagai memecah-belahkan.
Katanya, pendekatan itu tidak membantu kerana Sabah sebahagian daripada Persekutuan dan hubungan baik dengan Putrajaya penting untuk kemakmuran serta pembangunan negeri.
“Kita mahu kerjasama antara parti di peringkat negeri dan pusat supaya tidak wujud lagi sentimen ‘Sabah for Sabahan’. Lagipun, kita semua rakyat Malaysia,” katanya seperti dilaporkan.