Shahidan gesa kerajaan siasat pihak warta pengambilan tanah Kg Sungai Baru

Shahidan gesa kerajaan siasat pihak warta pengambilan tanah Kg Sungai Baru

Ahli Parlimen Arau berkata pengambilan dibuat dengan cara tidak wajar memandangkan negara melaksanakan kawalan pergerakan akibat Covid-19.

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa tunjuk bukti Kampung Sungai Baru bukan berstatus Malay Agricultural Settlement (MAS) atau tanah rizab Melayu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang Shahidan Kassim menggesa kerajaan menjalankan siasatan terhadap pihak bertanggungjawab dalam pewartaan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru yang didakwa dilakukan tergesa-gesa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Shahidan (PN-Arau) mempersoalkan apakah kewajaran pihak berkuasa membuat keputusan itu sedangkan ia berlaku dalam tempoh PKP akibat Covid-19.

“Notis pengambilan tanah bawah Pewartaan Seksyen 4 (Akta Pengambilan Tanah 1960 – APT 1960) iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, dan Isnin terus keluar notis Seksyen 8.

“Kita nak tanya tiga hari ini antara 18 dan 21 Jun 2021, apakah syarat sebenarnya ditetapkan yang pengarah boleh berbuat demikian. Masa tersebut PKP, apakah boleh dibuat sedemikian rupa.

“Pengambilan itu dibuat dengan cara tak wajar, itu masa PKP orang tak buat kerja…masa itu Annuar Musa menteri, beliau antara menteri terbaik dalam menangani Covid-19,” katanya ketika berbahas dalam sesi penerangan khas berhubung isu itu di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mendedahkan pewartaan pengambilan tanah melibatkan Kampung Sungai Baru pada 2021 dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh hanya tiga hari.

Shahidan berkata, semasa beliau memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan, beberapa langkah diambil bagi menyelesaikan isu Kampung Sungai Baru termasuk menangguhkan proses pembangunan untuk lakukan rundingan selama setahun, namun usaha itu terhenti selepas PRU15 dan pertukaran kerajaan.

“Arau hampir membetulkan masalah berlaku di Sungai Baru, tiba-tiba kerajaan baharu ambil alih kerajaan. Kalau Arau masih menteri wilayah, sudah pasti benda ini tak akan jadi,” katanya.

Beliau menuntut pihak terlibat tampil memberikan penjelasan secara terbuka, termasuk nilai pampasan yang disifatkan tidak munasabah apabila tanah seluas 16 ekar di Sungai Baru hanya dibayar RM56 juta oleh pemaju berbanding lebih RM90 juta seekar di Kampung Pandan.

“Saya minta bekas ketua setiausaha negara, bekas pengarah tanah dan bekas datuk bandar membuat penjelasan secara terbuka,” katanya.

Shahidan juga meminta Zaliha menunjukkan bukti Kampung Sungai Baru telah dikeluarkan daripada status Malay Agricultural Settlement (MAS) atau tanah rizab Melayu.

“Pada 16 Feb 1932 Sungai Baru dan kawasan MAS adalah kawasan rizab Melayu, 1970 Sungai Baru dikeluarkan tapi Kampung Baru masih bawah MAS. Saya tak tahu siapa keluarkan.

“…tapi dikuatkuasakan 16 ekar. Saya minta menteri tunjuk bukti kepada kita bagaimana tanah ini ditukar dari rizab Melayu kepada pajakan. Sebab dalam rizab Melayu, sekiranya kita nak ambil mesti diganti. Di mana diganti apabila tanah Sungai Baru diambil? Dan kalau diganti, mana tempat diganti, kita nak tahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.