MMA gesa ketatkan kawal selia perkhidmatan teleperubatan

MMA gesa ketatkan kawal selia perkhidmatan teleperubatan

Persatuan itu membangkitkan kebimbangan berhubung satu kerjasama korporat baru-baru ini yang menawarkan perkhidmatan 24 jam sehari.

Thirunavukarasu Rajoo
Dr R Thirunavukarasu berkata walaupun Majlis Perubatan Malaysia mempunyai garis panduan etika jelas mengenai teleperubatan, penguatkuasaannya masih bergantung kepada aduan. (Gambar MMA)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan lebih proaktif memperkukuh peraturan sektor kesihatan, khususnya menutup segera kelemahan dalam perkhidmatan telekonsultasi dan urusan penjagaan kesihatan oleh syarikat korporat.

Presidennya Dr R Thirunavukarasu berkata mekanisme pemantauan lebih kukuh perlu diwujudkan bagi melindungi pesakit serta memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, MMA mengesan semakin banyak syarikat dan pentadbir pihak ketiga (TPA) membuat keputusan mengganggu penilaian profesional doktor serta penjagaan pesakit.

Katanya, corak membimbangkan itu dapat dilihat baru-baru ini melalui satu kerjasama antara sebuah syarikat insurans dan rangkaian farmasi yang menawarkan perkhidmatan telekesihatan 24 jam, termasuk konsultasi doktor dan preskripsi ‘segera’ melalui aplikasi mudah alih.

Walaupun beliau tidak menamakan pihak terlibat, Thirunavukarasu berkata ini bukan kali pertama kerjasama seumpamanya berlaku.

“MMA dimaklumkan ada TPA terlibat dalam menguruskan perkhidmatan ini dan susunan serupa pernah dijalankan pihak sama sebelum ini.

“Telekonsultasi memang penting untuk memudahkan pesakit mendapatkan rawatan, terutamanya jika dijalankan dengan tanggungjawab dan penilaian klinikal yang betul.

“Tetapi jika digerakkan kepentingan komersial dan kawalan kos semata-mata, bukannya keselamatan pesakit, maka ia menjadi ancaman bukan inovasi,” katanya.

Menurut beliau, pengumuman baru-baru ini mengenai telekonsultasi 24 jam, preskripsi digital segera dan penghantaran ubat ke seluruh negara di bawah skim dikendalikan TPA menimbulkan persoalan besar tentang siapa yang memastikan akauntabiliti klinikal, kesinambungan rawatan dan pematuhan terhadap standard profesional.

Thirunavukarasu berkata, MMA bimbang dengan kelemahan penguatkuasaan dan peningkatan campur tangan komersial dalam keputusan klinikal. Walaupun Majlis Perubatan Malaysia mempunyai garis panduan etika teleperubatan yang jelas, penguatkuasaannya masih bergantung kepada aduan.

“Jika pesakit tidak membuat aduan, tiada tindakan diambil. Ini mewujudkan suasana di mana ada doktor yang mungkin tanpa sedar — atau secara sengaja — mengabaikan tanggungjawab profesional mereka akibat tekanan korporat.

“Ada juga yang memberi arahan klinikal atau preskripsi melalui platform yang tidak menjamin penilaian dan susulan yang mencukupi.

“Doktor perlu ingat bahawa tanggungjawab etika dan profesional yang sama terpakai sama ada konsultasi dilakukan secara bersemuka atau dalam talian.

“Setiap diagnosis, preskripsi dan keputusan perubatan tetap mempunyai implikasi undang-undang dan moral,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.