
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kapal terbabit yang membawa aktivis terdiri daripada doktor perubatan, wartawan serta aktivis kemanusiaan itu tiba di pelabuhan berkenaan pada 12.45 tengah malam waktu Malaysia.
“Namun lapan kapal yang lain belum diketahui status setakat 8 pagi ini,” kata kenyataan itu, menurut Berita Harian.
Tambahnya lagi, peguam dari Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) dilaporkan sudah bersedia di pelabuhan untuk meninjau keadaan mereka bagi pihak FFC.
Ia juga meminta semua pihak mendoakan kesemua aktivis yang ditahan dalam keadaan baik.
Semalam dilaporkan sembilan kapal termasuk kapal Conscience membawa lapan rakyat Malaysia yang dalam perjalanan ke Gaza dipintas tentera zionis Israel, ketika berada di kedudukan kira-kira 120 batu nautika (zon kuning).
Mereka adalah ketua misi, Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah iaitu Mohd Afandi Salleh serta Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar.
Manakala seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad berada dalam kapal Umm Saad.
Mereka mengikuti gelombang ketiga flotila kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza.