Utama kualiti guru, pembaharuan kurikulum dalam Belanjawan 2026

Utama kualiti guru, pembaharuan kurikulum dalam Belanjawan 2026

I Lourdesamy seru pengambilan dan latihan guru mesti diperketatkan, manakala Sharifah Munirah Alatas cadang dana untuk menyokong guru melanjutkan pelajaran.

spm
System pendidikan yang kukuh dan inklusif menjadi harapan ahli pendidikan menjelang Belanjawan 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua ahli pendidikan menggesa Putrajaya menjadikan kualiti guru dan pembaharuan kurikulum sebagai keutamaan dalam Belanjawan 2026 bagi membina sistem pendidikan yang lebih kukuh dan inklusif.

Bekas timbalan ketua pegawai pendidikan Pulau Pinang, I Lourdesamy, berkata pengambilan dan latihan guru mesti diperketatkan untuk memastikan hanya calon yang berdedikasi diambil bekerja.

Beliau juga berkata guru-guru sepatutnya hanya ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran yang mereka layak, dan guru-guru bersara atau senior boleh dilibatkan untuk mengurangkan kos latihan.

“Anda tidak perlukan PhD untuk menjadi jurulatih guru. Apa yang anda perlukan hanyalah pengalaman, terutamanya untuk peringkat sekolah rendah. Oleh itu, belanjawan anda tidak perlu sangat tinggi,” katanya kepada FMT.

Bekas pengerusi Gerakan Akademik Malaysia (Gerak), Sharifah Munirah Alatas, berkata kerajaan harus memperuntukkan dana untuk menyokong guru melanjutkan pelajaran ke kelayakan yang lebih tinggi. Beliau berkata setiap guru sekolah kebangsaan sekurang-kurangnya perlu mempunyai ijazah sarjana.

Cendekiawan itu juga berkata guru mesti pakar dalam satu atau dua mata pelajaran dan tidak dipaksa mengajar di luar bidang kepakaran.

“Ini akan memberi manfaat kepada pelajar dan meningkatkan kedalaman ilmu pengetahuan mereka. Tiada gunanya mempunyai bangunan yang cemerlang tetapi kualiti pengajaran yang lemah,” katanya.

Dalam Belanjawan 2025, Kementerian Pendidikan menerima RM64.1 bilion, peruntukan terbesar, namun sebahagian besarnya diperuntukkan kepada infrastruktur dan sokongan pelajar.

3M dan inklusiviti

Lourdesamy, yang mengetuai Kolej Teknologi Asia (ACT), menyeru penyusunan semula kurikulum kebangsaan untuk mengukuhkan penguasaan membaca, menulis, dan mengira (3M), dan untuk membina kemahiran hidup serta perpaduan sosial melalui gotong-royong, seperti yang dilihat di sekolah rendah Jepun.

“Kanak-kanak sekolah rendah di Jepun diajar untuk membersihkan tandas dan bilik darjah secara bergotong-royong, justeru belajar untuk hidup bersama,” katanya.

Beliau juga mencadangkan pendedahan awal kepada sains dan isu alam sekitar, dengan tahun-tahun kemudian lebih memfokuskan kepada 3M dan sains. Sekolah menengah pula harus menekankan STEM dan kemahiran yang diperlukan, dan bukannya terlalu banyak pengajian agama atau moral.

Munirah berkata buku teks mesti disemak semula untuk ketepatan dan keseimbangan, terutama mengenai perpaduan, patriotisme, politik, sejarah, dan kesenian.

“Latih guru agar berpengetahuan dalam mata pelajaran ini. Pastikan mereka bersikap sederhana dan seimbang dalam pandangan mereka, dan bersedia untuk membenarkan perbahasan dalam kelas secara mesra, mengenai topik-topik ini jika timbul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.