
Ketua Pengarah METMalaysia Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pada fasa awal monsun antara November hingga Disember 2025, hujan lebat dijangka memberi kesan utama kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sementara itu antara Disember 2025 hingga Januari 2026, episod hujan lebat berterusan dijangka melanda Johor, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pentingnya kesiapsiagaan bersepadu dan bukan sekadar bergantung pada ramalan, tetapi memastikan logistik, komunikasi, sumber serta tindakan pantas diurus dengan baik apabila bencana berlaku.
Katanya, bagi memperkukuh pemantauan cuaca, METMalaysia kini mengendalikan 42 stesen meteorologi utama, 382 stesen cuaca automatik dan konvensional, lapan stesen udara atas, 18 stesen radar cuaca, enam stesen ‘Wind Shear Detection System’ serta tiga stesen penerima satelit meteorologi.
“Jaringan sistem ini membolehkan pengesanan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dilakukan secara masa nyata, memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang kemungkinan bencana,” katanya selepas Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana, lapor Bernama.