Contohi reformasi Arab Saudi jika mahu luas daya tarikan, Ku Li beritahu PAS

Contohi reformasi Arab Saudi jika mahu luas daya tarikan, Ku Li beritahu PAS

Putera Mahkota Mohammed Salman buka jalan untuk memodenkan kehidupan di Arab Saudi tanpa mengetepikan peraturan Islam yang jelas, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Tengku Razaleigh Hamzah berkata PAS masih dilihat sebagai ultrakonservatif oleh ramai rakyat.
KUALA LUMPUR:
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, menyeru PAS mencontohi reformasi di Arab Saudi jika parti itu berharap untuk meluaskan daya tarikan di kalangan pengundi berbilang kaum.

Menurut tokoh dikenali dengan panggilan Ku Li itu, sebelum ini ramai beranggapan dan bercakap mengenai ekstremisme di negara terbabit.

“Tetapi sekarang, (Putera Mahkota Arab Saudi) Mohammed bin Salman membuka jalan memodenkan kehidupan di Arab Saudi tanpa mengetepikan peraturan Islam yang jelas, mengenai kehidupan.

“Jika PAS boleh mengamalkan itu, mungkin ia akan diterima di sini,” kata Tengku Razaleigh dalam temu bual eksklusif FMT.

PAS masih dianggap ekstrem

Tengku Razaleigh, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang selama empat dekad sehingga 2022, berkata ramai rakyat masih menganggap PAS sebuah parti yang tertumpu pada menguatkuasakan sekatan-sekatan.

“Orang melihat PAS sebagai parti agama yang akan membuat peraturan dan memaksa orang ramai mematuhi kepercayaan dan ritual agamanya.

“Ia mungkin tidak begitu, tetapi kita tidak tahu. Kita telah melihat beberapa perkara yang mereka lakukan di Kelantan, di mana mereka perintah. Sesetengah orang tidak menyukainya, dan mentafsirkan perkara-perkara ini sebagai (tanda) perkara yang akan berlaku pada masa depan jika mereka memerintah negara.

“Jadi mereka menolak PAS disebabkan itu,” katanya.

Di Kelantan, PAS memperhebat penguatkuasaan agama, mengenakan kod pakaian ke atas wanita, peraturan ketat ke atas hiburan, dan syarat yang ketat untuk permit konsert.

Acara awam juga tertakluk pada pengasingan jantina, sekali gus mengukuhkan imej ultrakonservatif parti itu.

Tengku Razaleigh berkata, menjadi tanggungjawab PAS untuk menjunjung keadilan dari segi prinsip dan amalan.

“Islam adalah mengenai kebenaran,” katanya.

“Agama kita melayan semua orang secara sama rata. Tidak ada diskriminasi dalam Islam. (PAS) mesti menunjukkan perkara itu, dan bukan perkara-perkara kecil tentang (berpakaian) dan semua perkara lain yang mereka cuba paksa orang ramai patuhi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.