
PETALING JAYA: Lima pendatang asing warga Indonesia cedera selepas bot yang dinaiki bersama lima yang lain berlanggar dengan bot Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Iskandar Puteri, di Johor awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 3 pagi ketika pasukan PPM menjalankan rondaan rutin di kawasan perairan berkenaan, lapor Bernama.
Katanya, lima warga asing yang cedera itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.
“Tiada kecederaan di pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata semua warga asing itu dipercayai cuba memasuki perairan negara secara haram dan siasatan lanjut sedang dijalankan.