Nelayan, pemilik bot turut nikmati BUDI95

Nelayan, pemilik bot turut nikmati BUDI95

Kementerian Kewangan berkata lebih 31,000 rakyat lagi kini menerima manfaat inisiatif BUDI95.

PETROL BUDI95
BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula 27 Sept dengan 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 30 Sept.
PETALING JAYA:
Kerajaan meluaskan kelayakan menikmati subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada golongan nelayan dan pemilik bot persendirian.

Dalam kenyataan Kementerian Kewangan berkata, langkah itu membawa kepada lebih 31,000 rakyat lagi kini menerima manfaat inisiatif subsidi tersebut.

“Lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), manakala lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

“Ini juga termasuk lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Kementerian kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri lain di seluruh negara khususnya Sabah dan Sarawak.

Katanya, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-panggilan (EHO) juga sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-panggilan sepenuh masa.

“Kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 27 Sept dengan 300,000 anggota polis dan tentera, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 30 Sept.

Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa.

Setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.