Kunjungan Trump dibawa ke perhatian Majlis Raja-raja, kata PM

Kunjungan Trump dibawa ke perhatian Majlis Raja-raja, kata PM

Anwar Ibrahim berkata lawatan beberapa pemimpin Asean dalam jadual diplomatik negara sepanjang bulan ini turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Donald Trump
Kunjungan Donald Trump dijadual serentak dengan lawatan beberapa pemimpin Asean lain sempena Sidang Kemuncak Asean bulan ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia bulan ini antara perkara utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja pagi tadi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kunjungan Trump dijadual serentak dengan lawatan beberapa pemimpin Asean lain sempena Sidang Kemuncak Asean, telah dibawa ke perhatian Raja-raja sebagai sebahagian daripada persiapan negara menerima kehadiran pemimpin dunia.

“Mesyuarat Majlis Raja-raja pagi tadi berjalan seperti biasa, antaranya membincangkan perkembangan semasa termasuk lawatan Presiden Donald Trump ke Malaysia pada hujung bulan ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Asean Conference on Future-Ready Public Service, anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Lawatan Trump ke Malaysia, yang pertama sejak kembali memegang jawatan presiden, dan dijangka memberi impak besar kepada hubungan dua hala Kuala Lumpur–Washington serta pendirian Malaysia dalam isu-isu global.

Anwar juga mengesahkan lawatan beberapa pemimpin Asean turut berada dalam jadual diplomatik negara sepanjang bulan ini, selari kedudukan Malaysia sebagai kepengerusian Asean 2025.

“Kita juga maklumkan kepada majlis mengenai kehadiran pemimpin Asean yang lain dalam tempoh sama,” katanya.

Selain itu, mesyuarat turut menyentuh pendirian Malaysia terhadap cadangan damai di Gaza yang dipelopori oleh Trump, berikutan konflik masih berlarutan di wilayah itu.

“Pendirian Malaysia mengenai cadangan damai Gaza juga turut disentuh,” kata Anwar.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, beberapa isu dasar lain turut dikemukakan dalam mesyuarat tersebut termasuk persiapan awal Belanjawan 2026.

Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-264 yang berlangsung pagi tadi dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.