Kesan darah pada kertas sepadan DNA Zara

Kesan darah pada kertas sepadan DNA Zara

Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu kesan darah berkenaan konsisten dan sepadan dengan profil DNA diambil daripada spesimen tulang remaja terbabit.

zara qairina
Ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya Selangor Nor Aidora Saedon mengesahkan bahawa DNA yang dikenal pasti adalah datang daripada individu sama. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kesan darah yang ditemui pada helaian kertas mengandungi tulisan tangan Zara Qairina Mahathir sepadan dengan profil DNA remaja terbabit, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu hari ini.

Ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor, Nor Aidora Saedon, 52, berkata ia ditemui pada kertas bertanda Y8, meliputi kawasan Y8 (ii) hingga Y8 (vii) dan pada kertas bertanda Y1, meliputi kawasan Y1 (i) dan Y1(ii) dengan sampel berkenaan dianalisis untuk perbandingan DNA.

Katanya, kesan darah berkenaan konsisten dan sepadan dengan profil DNA diambil daripada spesimen tulang bertanda WK37 dan berlabel ‘Zara Qairina Binti Mahathir’.

“Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya, menurut Berita Harian.

Tambahnya, kesan darah yang ditemui pada kertas berlabel WK15(9)(a) serta DNA kesan sentuhan yang diambil dari sebuah buku berlabel WK13 turut sepadan.

Pada prosiding sebelum ini, pemeriksa dokumen Nurul Atiqah Mohd Noh memberitahu mahkamah bahawa tulisan tangan pada beberapa dokumen bertanda Y1 hingga Y15 serta W1 dan W2 yang dianalisisnya adalah konsisten dengan spesimen tulisan tangan Zara Qairina.

Turut dilaporkan kesan darah dipercayai ada pada lembaran kertas yang mengandungi tulisan tangan remaja itu.

Nor Aidora berkata, profil DNA bercampur, yang terdiri daripada satu penyumbang utama perempuan dan sekurang-kurangnya dua penyumbang minor, diperoleh daripada kesan darah pada kawasan Y8 (i) serta daripada DNA pada beg alat tulis bertanda WK1 (a), buku WK9 dan WK14 serta selimut berlabel WK27.

“Profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang WK37 adalah penyumbang utama dalam sampel campuran ini, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara muktamad,” katanya yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebagai saksi ke-17 dalam inkues kematian Zara Qairina.

Nor Aidora turut menjelaskan bahawa kertas Y1 dan Y8 adalah padanan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, beliau memeriksa beg barang bukti polis bertanda Y8 dan ada sekeping kertas di dalamnya dengan beberapa kesan yang menunjukkan kehadiran darah dan tujuh kawasan telah diambil dan ditandakan sebagai Y8 (i), Y8 (ii), Y8 (iii), Y8 (iv), Y8 (v), Y8 (vi) dan Y8 (vii).

Ketika memberi keterangan sebelum ini, Nor Aidora berkata beliau memeriksa kertas bertanda Y1 di hadapan Nurul Atiqah dan terdapat kesan darah pada lembaran terbabit sebelum mengambil dua sampel dilabel sebagai Y1 (i) dan Y1 (ii).

Beliau juga memberitahu telah menerima 37 barang bukti, termasuk pakaian, barang peribadi, buku, lembaran kertas dan beberapa spesimen seperti tulang, kuku dan putik kapas dengan kesan darah daripada seorang inspektor polis.

Menurutnya, beliau turut menerima satu lagi beg barang bertanda Y8 daripada seorang lagi inspektor pada 20 Ogos, 8.28 pagi dan semua barangan diterima dalam keadaan bertutup serta utuh.

Beliau juga mengesahkan semua barang bukti tidak diusik dan berada di bawah pengawasannya setiap masa sepanjang proses analisis dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.