
Sim berkata, Kementerian Kesihatan telah menawarkan 542 jawatan doktor di Sarawak, namun 293 daripada mereka tidak hadir melapor diri. Beliau berkata, sehingga kini terdapat 1,100 kekosongan jawatan pegawai perubatan di negeri Borneo itu.
“Kami memohon 650 calon mengisi jawatan tersebut. Namun, kami hanya diberikan 542, dan daripada jumlah itu, hanya 249 melapor diri untuk bertugas, manakala kira-kira 54% tidak berbuat demikian.
“Jadi, lebih ramai doktor yang gagal melapor diri berbanding yang hadir,” katanya menurut The Borneo Post.
Sim menyuarakan harapan agar mesyuarat jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan datang dapat mencapai kata sepakat menangani masalah itu.
Sebelum ini, Sim berkata tujuh hospital awam di Sarawak kekurangan sekitar 11,000 petugas kesihatan, termasuk lebih daripada 1,100 pegawai perubatan.
Beliau berkata, angka itu berdasarkan anggaran Kementerian Kesihatan susulan lawatan pasukan sumber manusia pada Julai lalu.