
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Fifa berkata bertentangan dengan dokumen dikemukakan oleh FAM yang mendakwa datuk dan nenek pemain tersebut dilahirkan di Malaysia, siasatan badan itu mendapati rekod asal menunjukkan mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda.
Dalam kenyataan, FAM berkata pemain terbabit adalah warganegara Malaysia sah dan menegaskan gambaran Fifa terhadap mereka ‘tidak tepat’.
“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan berlaku berpunca daripada ‘wrong submission’ iaitu ralat pentadbiran, apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata FAM.
“Dakwaan bahawa pemain ‘memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu’ adalah tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.”
FAM berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan rayuan kepada Fifa dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan kerajaan, sambil menegaskan komitmennya untuk menegakkan integriti bola sepak negara berdasarkan ‘fakta serta dokumen sahih’.
Pada 26 Sept, Jawatankuasa Tatatertib Fifa mengenakan denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) terhadap FAM, manakala setiap tujuh pemain tersebut digantung 12 bulan dan didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000).
Susulan tindakan tersebut, FAM menjelaskan berlaku ‘kesilapan teknikal’ dalam dokumen dikemukakan bagi mendaftarkan pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel — dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.
Hari ini, Fifa mengeluarkan penghakiman penuh mengenai keputusan mengenakan tindakan terhadap FAM dan tujuh pemain bola sepak tersebut, yang semuanya beraksi ketika Malaysia membelasah Vietnam, 4-0, pada 10 Jun lalu.
Fifa berkata, sekretariatnya telah memperoleh sijil kelahiran asal datuk dan nenek pemain berkenaan secara terus daripada pejabat pendaftaran luar negara dan membandingkannya dengan dokumen dikemukakan oleh FAM. Badan itu menyatakan, ia ‘penuh yakin’ dokumen tersebut telah dipalsukan selepas menemui ‘perbezaan ketara’ antara dokumen asal dan yang dihantar oleh FAM.
Hasil siasatan menunjukkan butiran dalam rekod keturunan pemain telah diubah, di mana tempat kelahiran datuk dan nenek mereka dalam dokumen asal — iaitu di Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda — telah ditukar kepada lokasi di Melaka, Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak.
Jawatankuasa itu turut mempersoalkan ketelitian proses pengesahan oleh JPN, susulan kenyataan Ketua Pengarah Badrul Hisham Alias, yang memaklumkan jabatan tersebut tidak dapat mengesan semula rekod kelahiran asal bertulis tangan datuk dan nenek pemain berkenaan daripada arkib sejarah.
Fifa menyifatkan pendedahan tersebut sebagai ‘petunjuk proses pengesahan oleh kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal’, sambil menambah bahawa perkara itu ‘menimbulkan persoalan terhadap ketelitian proses pengesahan oleh FAM’.