FAM mesti jelaskan penemuan Fifa, kata Hannah

FAM mesti jelaskan penemuan Fifa, kata Hannah

Menteri belia dan sukan berkata penyokong bola sepak 'sakit hati, marah dan kecewa' atas kontroversi membabitkan pasukan kebangsaan.

Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia mesti memberi maklum balas secara telus terhadap penemuan oleh Fifa.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh hari ini menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi maklum balas secara terbuka terhadap penemuan Fifa dalam penghakimannya yang mempertikaikan asal usul keturunan Malaysia tujuh pemain bola sepak yang dikenakan tindakan.

“Saya telah membaca alasan penghakiman Fifa. FAM mesti melengkapkan proses rayuan dengan mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

“FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab dengan jelas terhadap semua pendedahan yang dibuat oleh Fifa.”

Yeoh menambah bahawa penyokong bola sepak Malaysia kini berasa ‘sakit hati, marah dan kecewa’.

“Kita juga jangan lupa skuad Harimau Malaya, yang akan berdepan Laos minggu ini. Kepada para pemain Malaysia, kami sentiasa bersama anda,” katanya.

Terdahulu hari ini, Fifa mengeluarkan alasan penuh penghakiman bagi keputusannya untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap FAM dan tujuh pemain warisan itu.

Tujuh pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Jawatankuasa Tatatertib menyatakan bahawa siasatan mereka mendapati pemain terbabit sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda, berbeza dengan dokumen dikemukakan FAM mendakwa datuk dan nenek pemain itu dilahirkan di Malaysia.

Jawatankuasa itu turut mempertikaikan ketelitian proses pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dengan menyatakan bahawa semakan tersebut tidak dibuat berdasarkan dokumen asal.

FAM sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya akan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut dan menolak penemuan Fifa, dengan alasan bahawa badan bola sepak dunia itu tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.

FAM didenda sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda individu sebanyak 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) dan penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.