
Beliau berkata, kemenangan itu adalah satu kejayaan yang amat ditunggu-tunggu hasil kerjasama strategik jangka panjang Petronas dengan pasukan Mercedes-AMG.
Katanya, beliau berbangga apabila dijemput menerima ‘Winning Constructor Trophy’ bagi pihak pasukan, namun mengakui bahawa ‘kegembiraan spontan beliau ketika meraikan detik kemenangan itu mungkin kurang wajar’.
“Walaupun saya boleh menegaskan saya tidak mengambil sebarang minuman beralkohol, sebagai orang Islam, saya sepatutnya lebih sedar akan sensitiviti apabila menyertai sambutan seperti itu.
“Justeru, saya ingin memohon maaf atas sebarang kesalahan yang tidak diniatkan dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya,” katanya menerusi kenyataan ringkas.
Tengku Muhammad Taufik memohon maaf selepas beliau menerima kecaman hebat, termasuk daripada PAS, apabila dilihat terlibat dalam acara semburan arak itu.
Beliau sebelum ini dijemput naik ke podium selepas pemandu pasukan Mercedes-AMG, George Russell, menjuarai perlumbaan tersebut.
Kontroversi melibatkan Tengku Muhammad Taufik tercetus tidak lama selepas satu lagi isu melanda Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeluarkan amaran kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, susulan kontroversi sajian arak di sebuah majlis makan malam sempena acara ‘Global Travel Meet’ anjuran Tourism Malaysia.