
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) serta Persatuan PKS Malaysia berkata, akses pembiayaan lebih mudah diperlukan kerana ramai pengusaha PKS kini bergelut dengan aliran tunai ketat dan kos pematuhan tinggi.

Pengerusi Samenta, William Ng, berkata insentif pendigitalan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu bersifat neutral dari segi platform dan diperluaskan supaya PKS pelbagai saiz dan sektor dapat memilih alat paling sesuai dengan keperluan mereka.
Beliau berkata, geran padanan digital RM5,000 yang diperkenalkan Putrajaya sebelum ini sangat membantu, tetapi jumlahnya terlalu kecil untuk automasi bermakna atau penggunaan AI.
“Kami mencadangkan skop dan jumlah geran diperluaskan. Walaupun kerajaan sudah mengumumkan peruntukan pembiayaan besar, ramai PKS masih sukar mendapat akses disebabkan syarat cagaran ketat,” katanya kepada FMT.
Ng menggesa siling geran padanan dinaikkan kepada RM10,000 dan penerima terdahulu dibenarkan memohon semula.
Menurutnya, lebih banyak alat mesra PKS diperlukan, termasuk instrumen pembiayaan berasaskan hasil dan jaminan kerajaan lebih kukuh.
Katanya, akses kepada pembiayaan penting kerana Tinjauan PKS Samenta 2025/2026 mendapati 70% PKS mempunyai rizab tunai kurang enam bulan, dengan kebanyakannya masih bergantung kepada pendapatan terkumpul atau pinjaman bank tradisional.
“Hampir 30% PKS masih beroperasi secara manual dan bagi mereka yang cuba menggunakan penyelesaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), 38% menyatakan kos sebagai halangan utama dan 36% lagi kekurangan pengetahuan.”
Untuk memberi ruang kepada PKS, Ng menyarankan kerajaan membekukan semua yuran dan caj pematuhan baharu sekurang-kurangnya 24 bulan.
“Kami turut mencadangkan Dana Luar Jangka Perdagangan PKS khusus diwujudkan, yang menawarkan pembiayaan pada kadar faedah sekitar 2% untuk membantu PKS menghadapi tindakan balas tarif global.”
Beliau turut menggesa insentif kerajaan bagi meningkatkan perdagangan intra-Asean memandangkan label “Buatan Malaysia” – terpakai kepada harta intelek, reka bentuk dan kepakaran Malaysia, walaupun dikilangkan di tempat lain – boleh membantu meluaskan capaian pasaran serantau.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, menggesa peruntukan minimum RM100 juta untuk menyokong penggunaan e-invois kerana pelaksanaannya akan membebankan PKS tanpa geran atau insentif padanan.
Beliau turut menggesa kerajaan bekerjasama dengan bank untuk menyediakan pembiayaan jangka pendek berfaedah rendah kepada PKS antara 12 hingga 24 bulan bagi membantu mereka menampung kos tambahan daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan serta kemelesetan global.
Walaupun terdapat beberapa geran kerajaan, tetapi katanya, banyak yang datang dengan garis panduan terlalu ketat sehingga menyukarkan akses. Contohnya, geran transformasi digital hanya terhad kepada kategori perniagaan tertentu seperti perakaunan dan pemasaran.
“Skop (geran padanan transformasi digital) perlu diperluaskan dan jumlahnya ditambah. Contohnya, menaikkan geran daripada RM5,000 kepada RM10,000 akan memberi kesan lebih bermakna.”
Beliau juga mencadangkan pusat sehenti untuk PKS dan projek yang secara tidak langsung boleh mengukuhkan rantaian bekalan PKS serta merangsang ekonomi tempatan.
Pembaharuan cukai, kemampanan dan insentif perdagangan

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia menggesa kerajaan mengutamakan rasionalisasi cukai dalam Belanjawan 2026, bermula dengan penyeragaman SST dan penghapusan cukai berganda ke atas perkhidmatan penghantaran.
Presidennya, Christina Tee memberi amaran terhadap kenaikan duti eksais lanjut ke atas produk seperti bir dan penguatkuasaan lebih ketat ke atas perdagangan haram akan mampu memulihkan berbilion-bilion hasil sambil memastikan persekitaran lebih adil untuk perniagaan sah.
Menurutnya, langkah kemampanan itu perlu termasuk pengecualian cukai untuk kitar semula, keperluan pelaporan berperingkat, memperluaskan kewajipan pematuhan kepada pengimport dan insentif bersasar bagi pelaburan teknologi hijau.
Bagi industri perkapalan, beliau berkata, peruntukan untuk latihan maritim dan biasiswa akan mengukuhkan saluran bakat.
“Insentif berkaitan perdagangan boleh membantu mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Malaysia. Contohnya, menggalakkan syarikat perkapalan berurus niaga dalam ringgit melalui insentif atau platform digital boleh mengukuhkan imbangan pembayaran dan menyokong pasaran kewangan tempatan.”