
Sindiket bernama ‘Fly By Night’ itu menggunakan taktik licik membuat pesanan membeli barangan melalui panggilan telefon dan menyerahkan resit palsu sebagai bukti pembayaran.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata tiga lelaki tempatan berusia 53 hingga 58 tahun ditahan di depan sebuah pusat servis kereta di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur pada 2.15 petang 26 Sept lalu.
Menurutnya, polis merampas sebuah lori dan menemui sebuah gudang di Kajang yang dipercayai digunakan sindiket terbabit untuk menyimpan pelbagai barangan dibeli daripada mangsa.
“Pada 12.10 tengah hari 1 Okt lalu, polis memeriksa gudang terbabit dan menemui pelbagai barangan seperti pembungkus plastik, baja sawit, barangan dapur dan silinder gas,” katanya menurut Harian Metro di IPD Hulu Selangor semalam.
Beliau berkata, barangan lain yang ditemui adalah penyejuk udara, kompresor udara, minyak enjin, minyak hidraulik jentera berat, cat dan salutan cat penebat haba.
“Pada masa sama, polis menahan dua lagi suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan warga asing berusia 30 tahun,” katanya sambil menambah empat suspek mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah, manakala saringan air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah.
Shazeli berkata, sindiket itu turut menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk mengambil barangan dari syarikat mangsa dan meminta barangan itu diturunkan di lokasi berlainan daripada alamat diberikan.
Susulan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes penipuan di Selangor membabitkan kerugian RM166,338.10 dan dua kes di Perak (RM55,515.70).
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti pemilik barangan itu bersama laporan polis dibuat semua mangsa.