Wan Fayhsal dinasihat jangan jadi lebih ‘Hamas daripada Hamas’

Wan Fayhsal dinasihat jangan jadi lebih ‘Hamas daripada Hamas’

Timbalan menteri luar beri nasihat itu selepas Ahli Parlimen PN desak kerajaan batal undangan kepada presiden AS ke Sidang Kemuncak Asean di ibu negara.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal minta kerajaan tarik balik undangan kepada Donald Trump di Dewan Rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin menasihati Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) jangan ‘jadi lebih Hamas daripada Hamas’.

Beliau memberi nasihat itu selepas Wan Fayhsal mendesak kerajaan membatalkan undangan Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara hujung bulan ini.

“Hamas menyambut baik rancangan (20 perkara) yang diberikan oleh Trump. Jadi kenapa kita tak bantu, tak sokong pendirian ini? Jangan kita jadi lebih Hamas daripada Hamas, ini apa pasal? Kita bantu, kita sokong, kita ingin mencapai perdamaian di Palestin,” katanya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini mempunyai tanggungjawab mengundang semua rakan dialog ke sidang kemuncak itu, dan akan menggunakan peluang tersebut bagi menyatakan pendirian mengenai Gaza kepada Trump.

Terdahulu, Wan Fayhsal meminta kerajaan menarik balik undangan kepada Trump kerana menurutnya, sejarah menunjukkan tiada seorang pun presiden AS yang mampu menghentikan keganasan di Gaza.

“Trump orang yang membenarkan genosid berlaku di Gaza, apa masalah yang membuat kita sanggup kompromi atas nama alasan sebagai pengerusi Asean untuk benar penjenayah jejak kaki ke tanah air kita, nak nasihat apa lagi kepada orang macam ini (Trump), macam curah air ke daun keladi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata walaupun Malaysia prihatin terhadap situasi di Palestin kerajaan juga perlu melihat objektif di sebalik undangan tersebut termasuk dari sudut kepentingan ekonomi.

“Ya, kita prihatin dengan apa yang berlaku di Palestin, tapi faedah dan juga hubungan dagang kita, hubungan pelaburan Asean dan juga AS cukup besar. Dan Malaysia ini, dengan AS adalah sebagai satu negara yang memberi pelaburan yang terbesar. Jadi kita lihat dari sudut ekonomi.

“Tapi, dengan pendirian tegas perdana menteri dan menteri luar sendiri, kita cukup optimis, kita cukup yakin bahawa, Trump ini bersama-sama semua negara yang bersama termasuk dengan Qatar, dengan Mesir, sentiasa mencari jalan untuk mencari perdamaian di Palestin,” katanya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini mempertahankan undangan kepada Trump sambil menegaskan Malaysia konsisten menyokong perjuangan Palestin dan akan terus memperjuangkan isu itu melalui saluran diplomatik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.