
Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata negara memiliki jaringan paip gas bawah tanah yang kompleks merentasi kawasan perumahan, industri dan komersial yang menuntut pendekatan keselamatan bertaraf dunia dan tidak boleh lagi bersandar kepada prosedur tradisional atau pemantauan manual.
“Saya mencadangkan supaya menggubal Akta Keselamatan Infrastruktur Kritikal Nasional, yang bukan sahaja menetapkan piawaian teknikal tetapi juga tanggungjawab undang-undang secara jelas apabila berlaku kecuaian.
“Di sinilah kelemahan terbesar kita sekarang, tanggungjawab sering bertukar tangan antara agensi dan syarikat,” katanya ketika membahaskan laporan kejadian itu yang dibentangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) bagi Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Dewan Rakyat.
Beliau turut mencadangkan supaya setiap pelan pembangunan yang melibatkan laluan infrastruktur bawah tanah
mesti disertai Sijil Impak Keselamatan Infrastruktur (SIKI) sebagaimana EIA untuk alam sekitar.
Katanya, ia bagi memastikan pemaju tidak hanya menilai keuntungan projek, tetapi turut mengambil kira risiko kepada keselamatan awam.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula menggesa Putrajaya menghentikan projek perumahan baru di kawasan berhampiran saluran paip gas.
Katanya, Laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berkaitan tragedi Putra Heights itu mendapati berlaku pemendapan tanah sehingga 24.3cm dan pergerakan paip gas sepanjang 15.9 cm.
“Ini Jelas menunjukkan paip gas alami pergerakan ketara dalam tanah sebelum kegagalan akhirnya berlaku tanpa dikesan awal,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PSSC Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjung Manis) membuat 11 syor kepada kerajaan ketika membentangkan laporan mengenai kejadian itu.
Cadangan-cadangan itu termasuk menjalankan ujian integriti ke atas injap sekat (isolation valve), membuat penilaian semula Kajian Geohazard Risk Assessment, meningkatkan kekerapan rondaan, memperketatkan prosedur kelulusan pembangunan di kawasan Right of Way (ROW), menambah bilangan peranti pengesanan untuk tujuan pemantauan, dan meningkatkan latihan kesiapsiagaan pelan tindak balas kecemasan.