
Keempat-empat Adun STAR itu menentang pendirian Presiden Jeffrey Kitingan yang mengetuai tindakan STAR keluar daripada GRS minggu lalu, dengan menghadiri pengumuman pembubaran DUN oleh Hajiji hari ini.
Ketika ditanya wartawan mengenai kehadiran empat Adun berkenaan, Hajiji berkata: “Mereka beritahu saya bahawa mereka menyokong GRS.”
Ellron, yang juga menteri belia dan sukan negeri, merupakan Adun Sook bagi penggal keempat. Buat masa ini, tidak jelas siapa tiga lagi Adun STAR yang turut hadir.
Enam Adun STAR ialah Ellron, Kitingan (Tambunan), Abidin Madingkir (Paginatan), Robert Tawik (Bingkor), Annuar Ayub (Liawan) dan Flovia Ng (Tulid).
Abidin, Tawik dan Ng masing-masing merupakan pembantu menteri dalam kerajaan negeri.
Dalam sidang media itu, Hajiji berkata keahlian STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS terbatal secara automatik selepas kedua-dua parti bertegas mahu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN17.
Beliau menegaskan Majlis Presiden GRS memutuskan semua parti komponen gabungan itu perlu bertanding bawah satu logo GRS pada pilihan raya berkenaan.
Hajiji berkata, keputusan itu hanya terpakai untuk komponen GRS dan tidak melibatkan Pakatan Harapan (PH), yang menjalinkan pakatan pilihan raya dengan gabungan pemerintah negeri itu.
Mengenai kemungkinan pertembungan antara calon GRS dengan STAR dan SAPP, Hajiji menyatakan keyakinan gabungannya mampu menghadapi mereka.
Ketika ditanya kemungkinan GRS akan bekerjasama semula dengan STAR dan SAPP selepas PRN, beliau menjawab: “Itu tidak berbangkit.”