
Ketua Bahagian STAR Kuamut, Mandik Yadam berkata mesyuarat khas yang diadakan dua hari lalu memutuskan bahagian itu bersetuju untuk tidak meletakkan calon di kerusi Kuamut serta akan menyokong calon GRS.
“Kami menghormati pendirian presiden, namun di peringkat akar umbi, kami memilih untuk kekal bersama GRS Kuamut yang dipimpin Masiung Banah.
“Keputusan ini dibuat demi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di kawasan Kuamut serta daerah Tongod dapat diteruskan,” katanya menurut Utusan Borneo.
Masiung, yang juga naib presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, menjadi Adun Kuamut sejak 2008. Beliau sebelum ini merupakan ahli Upko, tetapi meninggalkan parti itu selepas PRU 2018 untuk menjadi wakil rakyat bebas.
Bekas menteri negeri itu bertanding sebagai calon bebas pada PRN 2020 dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 978 undi. Beliau menyertai Gagasan Rakyat pada 2023.
STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) umum keluar daripada GRS minggu lalu kerana tidak bersetuju dengan pakatan pilihan raya antara gabungan pemerintah negeri itu dengan Pakatan Harapan (PH).