
Menurut laporan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kenderaan itu dihantar lewat tetapi tiada sebarang tuntutan atau caj penalti dikenakan terhadap syarikat konsesi terlibat.
“Analisis audit berdasarkan data dalam sistem pengurusan kenderaan konsesi mendapati sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 6,028 kenderaan dihantar lewat antara satu hingga 508 hari, melebihi tempoh penghantaran 60 hari bekerja dari tarikh pesanan.
“Semakan audit juga mendapati sehingga tarikh audit dijalankan, tiada rekod menunjukkan tuntutan penalti dibuat terhadap syarikat konsesi berkenaan,” menurut laporan itu.
Laporan tersebut turut mendedahkan kerajaan persekutuan menanggung kos tambahan kira-kira RM28.79 juta kerana terus menggunakan kenderaan konsesi yang pajakannya telah tamat.
Selain itu tidak diganti dengan kenderaan baharu dalam tempoh ditetapkan.
Laporan itu turut menyatakan berdasarkan maklum balas daripada Kementerian Kewangan, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi meneliti serta menentukan tuntutan wajar untuk dikemukakan.
“Jawatankuasa penalti itu dipengerusikan oleh timbalan ketua setiausaha perbendaharaan (pelaburan) dan dianggotai wakil pelbagai bahagian dalam kementerian serta Jabatan Akauntan Negara,” menurut laporan itu.
Kementerian Kewangan juga dilaporkan telah mengadakan sesi libat urus dengan semua kementerian pada 18 Ogos bagi membentangkan dapatan Jabatan Audit Negara dan menjelaskan langkah susulan yang perlu diambil.
Laporan itu turut menyatakan Kementerian Kewangan telah menandatangani Perjanjian Konsesi Kedua (CA2) pada 31 Januari 2022 bagi tujuan pembekalan, pembaikan, penyelenggaraan dan pengurusan kenderaan kerajaan.
Peranjian itu sah selama 15 tahun, bermula 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037, dan menggantikan Perjanjian Konsesi Pertama (CA1) yang asalnya dijadual tamat pada 31 Dis 2018.
CA1 telah dilanjutkan melalui empat perjanjian tambahan sebelum berakhir pada 31 Julai 2022.
Pada 31 Dis tahun lalu, sebanyak 14,459 kenderaan konsesi telah dibekalkan — 5,881 di bawah CA1 dan 8,578 di bawah CA2.
Daripada jumlah itu, 11,322 adalah kenderaan jabatan, manakala 3,137 merupakan kenderaan rasmi jawatan.
Kadar pembaikan, penyelenggaraan semakin meningkat
Di bawah perjanjian konsesi itu, bayaran bulanan merangkumi caj sewaan serta yuran pembaikan, penyelenggaraan dan perkhidmatan tambahan (RMA) yang dikira bagi setiap kenderaan dibekalkan.
Semakin lama usia kenderaan konsesi, semakin tinggi kadar RMA perlu dibayar.
“Antara 2021 hingga 2024, kementerian telah membelanjakan RM1.75 bilion untuk tujuan sewaan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan konsesi di bawah CA1 dan CA2,” kata laporan itu.
Jabatan Audit Negara mengesyorkan Kementerian Kewangan sebagai pentadbir kontrak, supaya mengambil tindakan menuntut semula RM54.51 juta anggaran penalti bagi kelewatan pembekalan kenderaan.
Jabatan itu menggesa kerajaan mempercepatkan penyelesaian isu penggantian kenderaan yang tempoh pajakannya telah tamat.