
Choong Kean Beng, 59, yang sudah bersara sebagai guru mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, manakala Lau Teik Hwa, 47, membuat pengakuan serupa di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Choong dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun menggunakan rotan di bilik disiplin di sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan pada jam 5.30 petang, 6 Dis 2023.
Lau juga didakwa menyebabkan kecederaan ke atas pelajar sama dengan menggunakan rotan di bilik disiplin sekolah itu pada 4 petang, 2 Ogos 2023.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farahin Ahmad dan Pegawai Pendakwa Polis, Zaida Azuwa Zainal Abidin, manakala Chong diwakili peguam K Mahendran dan Lau diwakili Koay Ee Teng.
Nadratun kemudiannya membenarkan Chong diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Amzar pula membenarkan Lau diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Nov ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.