GRS mampu kekalkan pentadbiran dikuasai parti tempatan, kata penganalisis

GRS mampu kekalkan pentadbiran dikuasai parti tempatan, kata penganalisis

Lee Kuok Tiung dari UMS berkata dominasi GRS dalam mentadbir mengikut acuan tempatan tidak akan terjejas jika kembali dipilih mentadbir Sabah.

Lee Kuok Tiung berkata GRS dipimpin Hajiji Noor kekal dengan identitinya sebagai gabungan parti tempatan yang memperjuangkan kepentingan Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih mampu menjadi tunjang pentadbiran negeri dengan kekuatan parti tempatan, kata seorang penganalisis yang menolak tanggapan pengaruhnya akan terjejas susulan kerjasama pada PRN.

Lee Kuok Tiung berkata GRS dipimpin Hajiji Noor kekal dengan identitinya sebagai gabungan parti tempatan yang memperjuangkan kepentingan Sabah, berasaskan keputusan kolektif dan bukan bergantung kepada mana-mana komponen tertentu.

Sehubungan itu, beliau berpendapat dominasi GRS dalam mentadbir mengikut acuan tempatan tidak akan terjejas sekiranya gabungan itu kembali dipilih mentadbir Sabah selepas PRN yang dijangka tidak lama lagi.

“Sentimen dan perjuangan parti tempatan yang dibawa GRS tidak terjejas kerana kekuatannya berpaksikan kepada kerjasama kolektif parti-parti tempatan Sabah.

“Kita juga perlu lihat berapa banyak kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH). Tidak perlu bimbang jika GRS masih menguasai majoriti kerusi,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas sama ada kekuatan GRS sebagai gabungan parti tempatan terjejas susulan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada gabungan itu, selain kerjasama GRS dengan PH.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata gabungan itu menawarkan 18 daripada 73 kerusi DUN kepada PH, yang difahamkan meminta bertanding di 23 kerusi pada PRN.

Isu agihan kerusi dengan PH turut menjadi antara punca STAR dan SAPP meninggalkan GRS Rabu lalu untuk bertanding secara solo pada PRN akan datang.

GRS kini dianggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Seorang lagi penganalisis politik Syahrudin Awang Ahmad pula berpendapat parti-parti komponen sedia ada dalam GRS mampu mengimbangi semula apa jua sentimen menjelang PRN melalui peranan dan kekuatan masing-masing.

Penyelidik di Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) itu berkata, PGRS yang diketuai Hajiji sebagai parti terbesar telah menggerakkan agenda pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya.

Menurutnya, PBS pula sebagai parti tertua dalam gabungan itu konsisten memperjuangkan hak negeri, termasuk tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain menyediakan asas kukuh di kawasan Kadazandusun Murut (KDM).

“Parti-parti lain pula memberi elemen kepelbagaian untuk meraih sokongan pengundi merentasi kaum dan agama.

“GRS kini bergerak ke arah gabungan yang lebih bersifat multi-etnik dan berasaskan wilayah yang lebih besar, dengan fokus beralih daripada karisma individu kepada kekuatan institusi parti tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.