Gesa tindakan terhadap Wan Saiful dahului proses, kata ketua bahagian

Gesa tindakan terhadap Wan Saiful dahului proses, kata ketua bahagian

Kenyataan 14 Ketua Bahagian Bersatu Perak menggesa tindakan terhadap Wan Saiful kerana didakwa bercanggah dengan dasar parti adalah bersifat tuduhan dan berkepentingan.

Zainol Fadzi Paharudin
Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin, kata mendahului proses siasatan lembaga disiplin adalah tidak wajar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi tampil bagi menolak gesaan supaya tindakan disiplin diambil terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan susulan sidang media mengkritik Setiausaha Agung Azmin Ali.

Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin, berkata gesaan 14 ketua bahagian Bersatu Perak, yang menggesa tindakan terhadap Wan Saiful dan ahli lain kerana didakwa bercanggah dengan dasar parti, adalah bersifat tuduhan dan berkepentingan.

“Gesaan yang dibuat oleh 14 Ketua Bahagian Bersatu agar majlis pimpinan tertinggi dan lembaga disiplin mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat juga tidak wajar kerana mendahului proses siasatan lembaga disiplin,” menurut kenyataan.

Pada 1 Okt lalu, 14 ketua bahagian serta pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu, menggesa MPT dan lembaga disiplin mengambil tindakan segera terhadap Wan Saiful, serta mana-mana ahli, kerana mengeluarkan kenyataan didakwa bercanggah dengan dasar parti.

Menurut mereka, langkah tegas sedemikian penting bagi mengelakkan gejala tidak berdisiplin terus berulang dan menular dalam parti.

Zainol bagaimanapun berkata aduan perlu disalurkan terus kepada saluran parti dan bukan melalui media atau media sosial.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan ketelusan dan kebebasan lembaga disiplin yang dipengerusikan oleh Mohammed Radzi Abdul Manan, memandangkan hubungan kekeluargaan beliau dengan Faizal, yang juga naib presiden, serta Ahli MPT Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

“Adalah lebih baik dicadangkan supaya kedudukan Mohammed dikaji semula daripada mengetuai siasatan atau pendengaran lembaga disiplin kerana dibimbangi berlaku konflik kepentingan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.