Ahli Parlimen DAP pertahan Tiong berhubung kritikan majlis gala

Ahli Parlimen DAP pertahan Tiong berhubung kritikan majlis gala

Menteri Tiong King Sing dikritik susulan hidangan minuman beralkohol pada majlis makan malam yang dikaitkan dengan agensi kerajaan.

Lim Lip Eng menyifatkan desakan supaya Tiong King Sing sebagai tidak wajar.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyifatkan kontroversi berhubung majlis makan malam sempena Global Travel Meet anjuran Tourism Malaysia sebagai contoh jelas ‘hipokrasi politik’.

Wakil rakyat DAP itu turut menyokong Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, yang membenarkan majlis itu diambil alih pihak swasta bagi mendapatkan perjanjian perniagaan berskala besar.

Menurutnya, desakan supaya Tiong meletakkan jawatan adalah tidak berasas kerana majlis itu sebenarnya mencerminkan bentuk kerjasama awam-swasta yang wajar digalakkan demi kemajuan negara.

“Faktanya mudah — pihak industri pelancongan mengambil inisiatif menganjurkan makan malam itu bagi menarik peluang pelaburan baharu ke Malaysia.

“Tiong hanya meluluskan usaha tersebut bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Lim bagaimanapun tidak mengulas mengenai penyediaan minuman beralkohol yang menjadi perdebatan ramai kerana membabitkan majlis dikaitkan dengan agensi kerajaan.

Semalam, Tiong mengakui Tourism Malaysia pada awalnya merupakan penganjur majlis tersebut, namun kemudian diambil alih pihak swasta selepas mendapati wujud potensi untuk memperoleh perjanjian perniagaan yang besar.

Sehari sebelum itu, Tiong menafikan penglibatan kementeriannya berhubung dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, bahawa minuman beralkohol dihidangkan pada satu majlis makan malam anjuran kerajaan, dengan menjelaskan majlis itu sebenarnya dianjurkan pihak industri.

Namun, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berhujah memandangkan acara itu tertera di laman web rasmi Tourism Malaysia dan dijadualkan sebagai sebahagian program rasmi, kerajaan tetap perlu memikul tanggungjawab.

Bekas menteri, Khairy Jamaluddin, mendakwa Tiong mengelirukan orang ramai menerusi satu hantaran di Instagram, yang memaparkan petikan surat jemputan menunjukkan Tourism Malaysia sebagai pihak penganjur.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula berkata isu hidangan minuman beralkohol pada majlis yang dikaitkan dengan Tourism Malaysia itu akan dibincangkan di peringkat Kabinet.

Zahid, yang juga presiden Umno menegaskan pihaknya menolak sekeras-kerasnya tindakan itu kerana dianggap tidak wajar dan bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Mengulas lanjut, Lim berkata isu berkenaan bukan soal prinsip, sebaliknya didorong oleh kepentingan politik sempit hasil cubaan segelintir pihak mengenakan agenda tertutup terhadap industri pelancongan yang bersifat pelbagai budaya dan global.

“Pemikiran sempit seperti itu akan menjejaskan pertumbuhan industri pelancongan negara.

“Mereka lebih gemar mengarahkan pelancong asing bagaimana untuk bertindak, berbanding bersaing menarik pelaburan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.