Tiada perjanjian dengan Anwar bertanding PRU16, kata Zafrul

Tiada perjanjian dengan Anwar bertanding PRU16, kata Zafrul

Ia susulan desas-desus beliau akan bertanding di Parlimen Ampang selepas menyertai PKR.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz menyifatkan dakwaan beliau akan bertanding di Parlimen Ampang pada PRU16 sebagai khabar angin.
PETALING JAYA:
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata tiada perjanjian dibuat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung peluangnya bertanding pada PRU16.

Justeru, beliau menafikan dakwaan akan bertanding di Parlimen Ampang pada PRU16 yang disifatkannya khabar angin.

“Ia hanyalah cakap-cakap kosong,” katanya menurut Utusan Malaysia susulan desas-desus beliau akan bertanding di Parlimen Ampang selepas menyertai PKR.

Pada 9 Ogos lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan permohonan Tengku Zafrul menyertai parti itu diluluskan Majlis Pimpinan Pusatnya pada 26 Julai lalu.

Beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, ketua Kota Raja dan ahli Umno pada 30 Mei lalu.

Mengulas dakwaan ada pemimpin PKR kurang senang dengan kehadirannya, Tengku Zafrul berkata ia lumrah dalam politik.

Ahli PKR Ampang itu berkata sebelum menyertai parti itu, beliau menemui Adun Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet yang menyuarakan sokongan terhadap penyertaannya dalam PKR.

Katanya beliau turut menemui ramai pemimpin bagi mendapatkan pandangan serta restu mereka sebelum menyertai PKR.

“Dalam politik, kita perlu sedar mustahil untuk mendapat sokongan 100%. Kalau tidak boleh menerima hakikat itu, lebih baik jangan masuk politik.

“Jika ada pihak yang tidak menyokong, kita perlu berani berdepan, berinteraksi dan menjelaskan pendirian.”

Pada masa sama, katanya beliau tidak melompat parti sesuka hati.

“Tetapi perlu dijelaskan saya menyertai Umno sejak 1998 dan kekal bersama selama 20 tahun.

“Selepas itu, barulah saya membuat keputusan untuk bergerak ke arah baharu. Jadi, saya tidak pernah lompat-lompat seperti yang didakwa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.