Miniatur warisan Malaysia ‘laku keras’ di Hong Kong

Miniatur warisan Malaysia ‘laku keras’ di Hong Kong

Terselit di celah jenama besar, Kraken House buktikan warisan Malaysia mampu tembusi pasaran dunia.

Miniatur bangunan warisan Malaysia laris di Hong Kong.
KLANG:
Di tengah keriuhan Hong Kong Toy Car Salon 2025 yang dipenuhi jenama besar dari seluruh dunia, sebuah jenama Malaysia, Kraken House, mencuri tumpuan. Miniatur bangunan retro berunsur warisan Malaysia yang dihasilkan mereka laris dijual sehingga habis.

Acara yang berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos lalu di Hopewell Hotel, Hong Kong ini syurga bagi peminat model kereta, diecast, dan dunia miniatur. Kraken House satu-satunya jenama dari Malaysia yang menerima undangan khas, dan megah di samping lebih 50 jenama terkemuka seperti PopRace dan Inno64 dari China, serta Tomica dan Tomytec dari Jepun.

Pengasasnya, Rahiman Rahizar, 30, mengakui perasaannya bercampur baur apabila menjejak kaki di Hong Kong. Beliau bimbang jika miniatur yang meraikan nostalgia dan warisan Malaysia tidak mendapat sambutan, berbeza dengan produk moden dan canggih pesaing lain. Namun, segala kerisauan hilang apabila melihat sendiri sambutan luar biasa daripada pengunjung.

“Saya dan pekerja pergi ke Hong Kong dengan perasaan yang sangat takut, sangat risau. Tertanya-tanya, orang hendak singgah ke gerai kita? Mereka kisah ke pasal gerai Malaysia?” kata Rahiman. “Tapi siapa sangka, yang terjual habis adalah Siri Malaysia.”

Pengasas Kraken House, Rahiman Rahizar mengumpul kereta diecast sejak usia 4 tahun.

Beliau menceritakan, walaupun warga Hong Kong bangga dengan seni bina sendiri, rupanya mereka tertarik dengan seni bina Malaysia sehingga berebut-rebut untuk membeli.

Kejayaan Kraken House bukan sahaja di peringkat antarabangsa. Di Malaysia sendiri, model kit pasang siapnya sentiasa menjadi rebutan. Rahiman masih ingat produk mereka tidak sempat disusun di rak pameran pada acara Malaysia Diecast Expo 2024 kerana disambar peminat.

Siri Malaysia yang mencuri tumpuan pengunjung Hong Kong Toy Car Salon 2025.

“Waktu itu kami bawa beberapa ratus model kit Siri Malaysia, tapi hari pertama sudah habis terjual. Kami terpaksa balik ke kilang di Klang untuk hasilkan set baharu bagi hari kedua. Hari kedua pun habis terjual,” katanya tentang produk Kraken House, yang ditubuhkan pada 2023.

Rekaan teliti

Setiap reka bentuk Kraken House dibuat dengan teliti, diilhamkan daripada bangunan sebenar seperti rumah kampung, Pasar Seni, Menara Condong Teluk Intan, dan lokasi ikonik di Klang, Melaka, serta Pulau Pinang. Ini menghasilkan diorama yang memukau dan kaya dengan butiran.

Apa yang menjadikan produk ini unik adalah pembeli boleh menyusun dan mewarnakannya mengikut kreativiti dan imaginasi masing-masing, memberikan pengalaman dan kepuasan tersendiri.

Antara model dijual Kraken House.

“Cita-cita kami adalah untuk menjadikan Kraken House sebagai jenama miniatur terkenal seperti Gundam, Bandai, Kato, dan Tamiya,” kongsi Rahiman.

Beliau menambah, Kraken House sedang berusaha mendapatkan hak cipta (IP) daripada syarikat pengangkutan tempatan. “Insya-Allah, kalau ada rezeki, kami akan dapat hasilkan model diecast seperti bas Rapid, Perodua Myvi, ataupun Proton Wira klasik yang begitu dekat di hati rakyat.”

Kraken House kini boleh berbangga apabila produk miniatur pasang siapnya menerima tempahan antarabangsa. Pihak di Dubai memesan 4,800 unit daripada tujuh set produk, manakala pihak dari Kanada sedang dalam perbincangan tentang kuantiti. Pihak di Vietnam, Mauritius, dan Filipina juga menunjukkan minat untuk menjadi pengedar.

“Ini bukan sekadar kejayaan untuk Kraken House, tetapi bukti bahawa produk yang meraikan identiti Malaysia juga mampu menembusi pasaran dunia,” ujar Rahiman, optimis dengan masa depan syarikatnya yang kini mempunyai 10 pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.