Hamzah patut ucap terima kasih pada Anwar bebaskan sukarelawan GSF, kata Hassan

Hamzah patut ucap terima kasih pada Anwar bebaskan sukarelawan GSF, kata Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang kata sebagai ketua pembangkang, Hamzah perlu sokong usaha kerajaan bebas rakyat yang ditahan Israel.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin perlu memahami bahawa semua pihak perlu bersatu ketika berdepan dengan musuh dari luar.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Hamzah Zainudin perlu mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana berjaya membebaskan 23 aktivis Malaysia yang ditahan Israel.

Hassan berkata sebagai ketua pembangkang, Hamzah sepatutnya beri sokongan kepada usaha kerajaan itu dan bukannnya menuntut perdana menteri meletak jawatan.

“Anwar telah membuat sebaik yang mungkin untuk membawa rakyat Malaysia itu pulang dengan selamat ke tanah air kita.

“Rasanya eloklah dan amat tinggi budi pekerti Hamzah sebagai ketua pembangkang jika beliau sanggup mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Anwar serta kerajaan di Parlimen esok,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Hamzah ketika berucap di perhimpunan membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan solidariti kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) semalam.

Mengulas lanjut, Hassan berkata timbalan presiden Bersatu itu juga perlu memahami bahawa semua pihak baik kerajaan atau pembangkang perlu bersatu ketika berdepan dengan musuh dari luar negara.

“Dalam hal 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel, nyawa mereka mesti kita selamatkan dan inilah tanggungjawab kerajaan.

“Tetapi satu hal yang ketua pembangkang perlu akur iaitu dalam keadaan genting, cemas ternyata Anwar telah lulus dalam ujian itu,” katanya.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Semalam, Anwar mengumumkan semua aktivis itu sudah dibebaskan dan dibawa keluar dari Israel hasil usaha diplomatik intensif pelbagai pihak termasuk pegawai Amerika Syarikat, Qatar dan kerjasama penuh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.