Banjir: Jumlah mangsa di Kedah meningkat, Perak menurun

Banjir: Jumlah mangsa di Kedah meningkat, Perak menurun

Jumlah mangsa di Kedah meningkat kepada 109 orang manakala di Perak jumlah mangsa menurun kepada 31 orang.

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di SK Langgar, Alor Setar hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini, manakala bilangan mangsa bencana itu di Perak semakin berkurang setakat 4 petang ini.

Di Kedah, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata sebuah PPS baharu dibuka di SK Langgar, Alor Setar, namun jumlah mangsa dan keluarga yang ditempatkan masih dalam proses bancian.

Di PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena, beliau berkata jumlah mangsa meningkat kepada 109 orang daripada 33 keluarga berbanding 100 orang daripada 30 keluarga, pagi tadi.

“Satu sungai berada pada tahap amaran, iaitu Sungai Kedah di Jabatan Lebuhraya, Kota Setar pada paras 1.84 m berbanding paras yang ditetapkan 1.8m,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setakat ini, cuaca di Kedah cerah tanpa hujan, namun kejadian banjir dipercayai berpunca daripada aliran air dari Pokok Sena ke Pekan Langgar.

Di Perak, hanya satu PPS masih dibuka di Larut, Matang dan Selama selepas dua PPS, iaitu di SK Matang Gelugor dan SK Simpang, Taiping, ditutup masing-masing pada 2 petang dan 3 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa kini berkurangan kepada 31 orang daripada lapan keluarga berbanding 107 orang daripada 33 keluarga pagi tadi melibatkan penduduk dari Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta pada sebelah malam ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.