
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pengauditan itu penting selaras komitmen KPM memastikan sekolah terus mendapat perhatian dalam konteks kesejahteraan pelajar secara menyeluruh, khususnya dalam aspek keselamatan.
“Jadi, audit ini pastinya akan memberi kita beberapa pendekatan dan tumpuan penuh perkara yang perlu kita baiki dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan kesejahteraan dan keselamatan sekolah,” katanya selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, Penanti di sini.
Justeru, beliau berkata, KPM mengemukakan beberapa cadangan berkaitan dalam Belanjawan 2026 di bawah Kerangka ‘Safe School’.
“Dalam kerangka ini, kita minta dipertimbangkan antara lain penambahan waran guru kaunseling secara besar-besaran dan melihat juga program sokongan kesihatan mental di sekolah, mudah-mudahan kerangka ‘Safe School’ ini mendapat perhatian dalam belanjawan.”
Sebelum ini, media melaporkan KPM mengarahkan ketua jemaah nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dan asrama.
Mengulas insiden seorang murid lelaki Tahun Empat meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah di Seremban, Fadhlina berkata, KPM masih menunggu hasil siasatan polis.
“Siasatan masih dijalankan dan kita telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan tersebut.”
Rabu lalu, seorang murid lelaki Tahun Empat ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan pada 1.19 tengah hari, ketika mangsa berusia 10 tahun itu sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat tekanan pada leher, namun tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.