Pembangkang, orang ramai berhimpun bantah RUU PSB

Pembangkang, orang ramai berhimpun bantah RUU PSB

Perhimpunan itu juga nyatakan solidariti terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dan bantah kehadiran Donald Trump ke Malaysia.

bantah RUU PSB sogo
Orang ramai berkumpul di hadapan Sogo untuk bantah pembentangan RUU Pembaharuan Semula Bandar PSB.
KUALA LUMPUR:
Orang ramai mula berhimpun di hadapan kompleks membeli-belah Sogo bagi mendesak pembatalan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Majoriti peserta hadir memakai baju berwarna hitam dan memegang sepanduk dan plakad dengan mesej ‘Bantah URA’.

Perhimpunan terbabit juga untuk menzahirkan solidariti kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel.

Selain itu, membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di ibu negara, hujung bulan ini.

Perhimpunan itu dijangka diakhiri dengan solat hajat perdana untuk mendoakan sukarelawan dalam misi menghantar bantuan ke Gaza itu.

Antara yang hadir Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Idris Ahmad, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Presiden Putra Ibrahim Ali.

Sebelum ini, PAS menyasarkan kehadiran lebih 50,000 peserta dalam himpunan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman memaklumkan himpunan berkenaan berjalan aman dan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur sudi beri kerjasama dan mendengar nasihat polis untuk menganjur himpunan dengan lancar,” katanya pada sidang media.

Beliau menganggarkan jumlah peserta dalam lingkungan 1,600 hingga 1,800, beserta 400 petugas yang diletakkan bagi mengawal selia perhimpunan petang tadi.

Affendy berkata, pihaknya akan menyemak balik rakaman ucapan dibuat pemimpin ketika himpunan.

“Sekiranya ada kesalahan atau menyentuh isu 3R dan sebagainya, maka polis akan membuka siasatan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.