PGA rampas vape RM6.7 juta di Tumpat

PGA rampas vape RM6.7 juta di Tumpat

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Ijid Landu Binju berkata produk itu dipercayai mahu diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram.

rampasan vape
Ratusan kotak yang mengandungi 29,960 unit katrij vape dan 37,800 unit peranti vape yang dirampas di sebuah stor di Kampung Telaga Bata, Tumpat semalam.  (Gambar PGA)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas rokok elektronik atau vape bernilai kira-kira RM6.7 juta dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Telaga Bata, Tumpat semalam.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Ijid Landu Binju berkata dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam itu, pihaknya menemukan ratusan kotak dibalut dengan plastik kuning, mengandungi 29,960 unit katrij vape dan 37,800 unit peranti vape yang disyaki tidak mematuhi standard Malaysia.

Beliau berkata stor itu dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dan transit sebelum rokok elektronik itu diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram sekitar daerah ini.

“Hasil semakan lanjut mendapati alamat tertera dalam perakuan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia tidak sama dengan lokasi stor berkenaan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Ijid berkata rampasan itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Perintah 4(1) dan 4(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Elektronik) 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.