PAS mahu lindungi PN daripada kegagalan Gerakan, kata penganalisis

PAS mahu lindungi PN daripada kegagalan Gerakan, kata penganalisis

Azmi Hassan kata Gerakan boleh salahkan diri sendiri sekiranya gagal tarik sokongan pengundi bukan Melayu walaupun dengan lambang sendiri.

muktmar pas
PAS Pulau Pinang sedia membenarkan Gerakan guna lambang sendiri pada pilihan raya.
GEORGE TOWN:
Kesediaan PAS Pulau Pinang membenarkan Gerakan menggunakan lambang parti sendiri pada PRU16 dilihat sebagai strategi untuk mengelakkan Perikatan Nasional (PN) dipersalahkan sekiranya tewas, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, PAS kelihatan ‘tidak kisah’ dengan cadangan itu, bahkan Gerakan sememangnya berhasrat menggunakan platform PN untuk memajukan cita-cita politiknya.

Beliau menambah, PAS sememangnya kecewa dengan kegagalan Gerakan menarik pengundi bukan Melayu kepada PN, terutama semasa PRN 2023 dan PRK Sungai Bakap.

“Sebelum ini, Gerakan boleh menyalahkan kekalahan mereka pada pandangan ekstrem pemimpin PAS. Jika parti itu masih tidak dapat menarik pengundi bukan Melayu menggunakan lambang sendiri, maka ia hanya boleh menyalahkan diri sendiri,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Azmi juga berpandangan PAS akan mempunyai alasan yang kukuh untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan sekiranya parti itu menunjukkan prestasi yang buruk meskipun bertanding atas nama sendiri.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, aturan itu akan membolehkan PAS mengaitkan sebarang kemenangan sepenuhnya kepada PN.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Jika tewas, maka boleh meletakkan sepenuhnya kesalahan pada strategi (Gerakan),” katanya.

Namun begitu, Syaza menasihatkan Gerakan agar tidak bertanding dengan lambang PN pada PRU16 kerana gabungan itu telah ‘sinonim dengan politik Melayu’.

Cadangan ini timbul selepas Ketua Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, mencetuskan idea untuk parti itu bertanding di bawah bendera sendiri semasa mesyuarat agung tahunan pada Ahad.

Oh dilaporkan menggesa jawatankuasa pusat parti membangkitkan isu itu dengan Majlis Tertinggi PN. Beliau mendakwa ramai rakyat Pulau Pinang masih tersilap menganggap Gerakan sebagai komponen Barisan Nasional.

Menjawab cadangan itu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Fawwaz Jan, berkata setiap parti berhak merangka pendekatan sendiri, sambil menambah beberapa parti berjaya dengan lambang sendiri semasa PRU15.

Syaza melihat sokongan PAS pada cadangan Gerakan ini sebagai petunjuk adanya pergelutan kuasa yang berterusan antara kedua-dua parti dalam PN Pulau Pinang.

“PAS mempunyai tujuh kerusi di DUN, mahu menerajui PN Pulau Pinang, manakala Gerakan mahu menarik pengundi bukan Melayu daripada DAP.

“Biarkan Gerakan mengikut kemahuannya. Jika ia masih gagal menarik undi, maka PAS boleh menuntut kepimpinan PN Pulau Pinang,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.