KPKT sedia terima pandangan berkait RUU PSB, kata menteri

KPKT sedia terima pandangan berkait RUU PSB, kata menteri

Nga Kor Ming mengalu-alukan pandangan bernas dan konstruktif sambil sifatkan RUU itu terbit daripada 'nawaitu suci dan murni'.

NGA KOR MING VISIT TAPAH ROAD MARKET
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, berkata pihaknya bersedia melakukan pindaan berdasarkan pandangan baik sebelum dibentang di Parlimen.
PETALING JAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia menerima cadangan bagi tambah baik Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), di mana bantahan mengenainya berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Nga Kor Ming, berkata pihaknya sentiasa mengamalkan ‘dasar hati terbuka, minda terbuka, dan pintu terbuka’, termasuk menilai maklum balas penganjuran konvensyen anjuran Umno dan dialog awam berkait RUU berkenaan.

“Saya mengalu-alukan semua pandangan bernas, teguran yang konstruktif akan diambil kira apabila kita melakar apa-apa akta ataupun undang-undang, kerana nawaitu kita adalah suci dan murni,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Perumahan Kebangsaan, di Ipoh.

“Dan sekiranya ada pandangan baik akan saya buat pindaan pada akta (sebelum) masuk ke Parlimen supaya kita dapat menjayakan misi murni ini.”

Hari ini, perhimpunan yang dianjurkan PAS bagi membantah cadangan PSB bergabung dengan protes pro-Palestin sebagai tanda solidariti dengan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Israel, yang menarik ribuan orang berhimpun di luar pusat beli-belah Sogo.

RUU itu telah menghadapi tentangan hebat di Dewan Rakyat pada Ogos lalu, apabila Barisan Nasional (BN) dan tujuh Ahli Parlimen PKR bersama pembangkang menyeru ia tidak diluluskan.

Perbahasan mengenai RUU berkenaan dijadualkan bersambung apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.