‘Kenapa gelojoh nak luluskan RUU PSB’, soal Radzi

‘Kenapa gelojoh nak luluskan RUU PSB’, soal Radzi

Naib presiden Bersatu itu berkata RUU itu patut dibatalkan selepas ditentang semua pihak termasuk Ahli Parlimen kerajaan.

Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin mendesak agar perbincangan dibuat secara menyeluruh sebelum Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar dibentangkan semula di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwanya terburu-buru untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak.

Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin berkata adakah tindakan kerajaan itu disebabkan wujud agenda tertentu.

“Kalau sudah semua menentang, rakyat dah bangkit, Ahli Parlimen mereka (kerajaan) sendiri bangkit, apa nak ditunggu. Batalkan RUU ini.

“Duduklah elok-elok bincang. Kita nak yang terbaik tidak kira di bandar, pinggir bandar dan di kampung. Kenapa gelojoh tanpa perbincangan,” katanya semasa berucap dalam himpunan bantah RUU PSB di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar mampan.

Bagaimanapun, bacaan seterusnya, perbahasan dan pengundian ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang untuk mendapatkan maklum balas lebih lanjut.

Dalam pada itu, Radzi mendesak agar perbincangan dibuat secara menyeluruh sebelum RUU PSB dibentangkan semula di Dewan Rakyat.

Beliau berkata RUU itu perlu ditangguhkan pembentangan bagi kepentingan hak rakyat secara keseluruhan.

“Terus tegakkan hak kita sebagai rakyat. Kita Berada di sini untuk anak cucu kita,” katanya.

Terdahulu, Radzi bersama pimpinan pembangkang lain hadir dalam himpunan bandar PSB.

Majoriti peserta hadir memakai baju berwarna hitam dan memegang sepanduk dan plakad dengan mesej ‘Bantah PSB’.

Perhimpunan terbabit juga untuk menzahirkan solidariti kepada sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel.

Selain itu, himpunan itu turut membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di ibu negara, hujung bulan ini.

Perhimpunan itu diakhiri dengan doa munajat untuk mendoakan sukarelawan dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.

Sebelum ini, PAS menyasarkan kehadiran lebih 50,000 peserta dalam himpunan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.