Adakah Trump mahu jumpa pemimpin PAS, sindir Rafizi

Adakah Trump mahu jumpa pemimpin PAS, sindir Rafizi

Rafizi Ramli berkata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hanya mahu menunjukkan ketegasan kepada penyokong parti itu.

rafizi ramli
Rafizi Ramli ulas kesediaan PAS bertemu Donald Trump yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur, hujung bulan ini.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli menyindir kesediaan PAS untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi menyuarakan pandangan mengenai konflik Palestin, dengan berkata idea itu sebagai ‘tidak masuk akal’.

Bekas menteri ekonomi itu berkata tiada jaminan Trump – yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean hujung bulan ini – mahu bertemu dengan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

“Saya rasa PAS dan Takiyuddin hanya mahu tunjuk pada penyokong. Malah kedutaan AS sendiri mungkin ketawa baca berita ini,” katanya dalam satu podcast.

Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, menambah ahli politik sering mengeluarkan kenyataan sekadar untuk menyedapkan hati penyokong, walaupun kadangkala kedengaran “merepek”.

Rabu lalu, Takiyuddin menyatakan kesediaan PAS untuk bertemu Trump, selain mengumumkan rancangan parti itu mengadakan protes sempena lawatan presiden AS terbabit.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan jemputan kepada Trump, dengan berkata Malaysia lantang menyokong Palestin dan akan menggunakan saluran diplomatik untuk memperjuangkan isu berkenaan.

Anwar turut menegaskan Malaysia perlu ‘bijak berkawan’ demi kepentingan ekonomi, khususnya dalam sektor eksport teknologi tinggi.

Dalam perkembangan berasingan, Rafizi menyifatkan pertelingkahan pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dan Azmin Ali sebagai sekadar drama politik.

“Hari ini kawan, esok bergaduh, lusa baik balik. Kita tengok sajalah, sediakan popcorn,” katanya berseloroh.

Beliau turut menyindir tindakan Wan Saiful yang kembali menghidupkan isu video intim yang dikaitkan dengan Azmin, dengan berkata ia sekurang-kurangnya akan menceriakan gelanggang politik untuk ‘tiga hingga empat bulan lagi’.

Wan Saiful baru-baru ini berkata beliau akan merujuk Azmin, setiausaha agung Bersatu, kepada jawatankuasa disiplin parti berhubung dakwaan ugutan terhadap ketua bahagian yang dikaitkan dengan komplot menjatuhkan Muhyiddin Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.